Menteri belia dan sukan menafikan beliau membayangkan sebarang sindiran seksual dalam ceramahnya pada 2008.
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Mahkamah
Tinggi hari ini memberi keterangan di kandang saksi dalam kes tuntutan
saman RM100 juta terhadapnya yang difailkan bekas ketua pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khairy atau turut dikenali dengan gelaran KJ, tenang sepanjang
memberi keterangan dan menjawab soalan balas daripada 2 peguam yang
mewakili Anwar, iaitu J Leela dan Latheefa Koya.
Leela memulakan soal balasnya dengan menekan Khairy mengapa beliau
membayangkan konotasi seksual yang Anwar ialah gay di hadapan khalayak
dalam satu ceramah pra pilihan raya umum 2008 menerusi kenyataannya:
‘PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua
dari belakang’.
Bagaimanapun, Khairy menafikan beliau membayangkan sebarang sindiran seksual dalam kenyataannya.
“Sudah tentu tidak,” katanya.
Khairy berkata maksud dalam kenyataan itu ialah membayangkan yang
DAP, PAS boleh ditikam dari belakang oleh Anwar dan Anwar ‘mempermainkan
parti pembangkang’.
Khairy dalam ucapannya turut menyentuh parti pembangkang yang
membentuk pakatan pembangkang bersama hanya ‘kahwin mutaah’ di mana
pembangkang berkahwin secara sementara dengan pihak lain dengan satu
tujuan.
“Saya tidak mahu menghina Syiah. Tetapi itu yang difahami secara
umum. Mereka ‘berkahwin’ kerana mahu bekerjasama tetapi bukan untuk
tujuan jangka panjang,” katanya.
Leela kemudian bertanya apa maksud ucapannya; “dia kahwin satu malam,
main malam tu, esok hari dia cerai” ketika merujuk kepada parti
pembangkang yang bersatu sebagai pakatan pada pilihan raya umum 2008.
Leela: Terma “main malam tu” bukan ada maksud seksual?
Khairy: Parti politik tak boleh melakukan seks. Ia berbalik kepada metafora (kahwin mutaah).
Leela turut menyoal jika Khairy ada bukti yang Anwar tarik balik
kenyataannya bila Khairy mendakwa Anwar ‘mempermainkan parti
pembangkang’.
“Bila pihak pembangkang ada kecenderungan melakukannya sebelum ini,
mereka mungkin berbuat begitu sekali lagi,” katanya merujuk kepada
gabungan pembangkang iaitu PKR, PAS dan DAP yang dibuat pada pilihan
raya umum pada 1999 dan 2004 tetapi pakatan itu gagal.
Bagaimanapun, Leela terus menekannya dengan berkata dakwaannya terhadap Anwar mengkhianati pembangkang, ialah fitnah.
Khairy menjawab:”Ini ialah kenyataan politik dan ia dibuat berdasarkan kepada komen yang adil.”
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan
mendakwa defendan, ketika itu naib ketua Pemuda Umno, mengeluarkan
kata-kata berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and
Kin No Threat’, dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk
Malaysiakini.com.
Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober
2010, berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan
perlindungan bersyarat.
Beliau berkata sebagai naib ketua Pemuda Umno, beliau mempunyai
tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat dan orang
Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang bersamaan
dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan yang
memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik.
Perbicaraan bersambung 20/9 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan.
No comments:
Post a Comment