Wednesday, September 21, 2016

Mohon maaf, kata Gerakan kepada Ali Tinju selepas rakaman didedah


21/9/16
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang menyarankan pemimpin Gerakan Merah Mohd Ali Baharom memohon maaf selepas portal berita Free Malaysia Today (FMT) menyiarkan rakaman audio membuktikannya membuat ‘ugutan’ ke atas Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.
Menulis di Twitter, Tan berkata Ali, yang juga dikenali sebagai Ali Tinju, perlu memohon maaf kepada Maria.

"Jika kamu berani membuat ugutan, kamu perlu berani menerima akibatnya. Jangan jadi pengecut dan kata 'disalah petik'. Ini memalukan.
"Lebih baik untuk menarik balik ancaman itu dan meminta maaf. Bertindak sebagai lelaki,” katanya.

Tan berkata sebalik membuat ugutan terhadap BERSIH agar membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 19 November itu, alternatif perlu disediakan seperti cadangannya supaya perhimpunan itu diadakan di stadium.
Portal berita FMT menyiarkan rakaman itu selepas Ali mendakwa beliau disalah petik berhubung dakwaan ‘ugutan’ itu yang kini sedang disiasat oleh pihak polis.
Ia memaparkan rakaman audio penuh perbualan wartawannya, Nawar Firdaws dengan Mohd Ali pada 14 September lalu.

Ali dalam penafiannya dalam akhbar The Sun yang disiarkan hari ini mendakwa disalah petik sehingga menyebabkan dirinya dilihat seperti “seorang samseng dan seorang yang ganas”.

Ali memberitahu akhbar bahasa Inggeris itu wartawan FMT menulis laporan itu dan tidak mempunyai video atau rakaman di mana beliau berkata akan merancang untuk “serang hendap” dan Maria “nanti tidak akan berjalan di atas bumi”.

“Sebelum menulis laporan itu, saya meminta Ali untuk mengulas pengumuman Maria tentang tunjuk perasaan BERSIH 5 yang akan diadakan pada 19 November, dan adakah dia merancang untuk mengadakan himpunan balas pada waktu yang sama.
“Dia mengiyakan perkara itu dan memberi amaran kepada Maria supaya jangan menyebabkan kacau-bilau di negara ini.

“Dia juga minta Maria supaya berwaspada dan berikrar walaupun Maria ditemani 10 atau 20 pengawal peribadi, dia, seorang bekas tentera akan sebat mereka semua,” kata Nawar dalam tulisannya di portal itu hari ini.
Berikutan antara petikan yang didakwa berbaur ‘ugutan’ itu.
Pemberita: Senamam pinggang tu akan diadakan di depan rumah Maria Chin?

Ali: Dia akan rasa tidak akan aman. Dia tidak akan senang duduklah selepas ini. Mungkin dia akan bawa bodyguard dua tiga orang ke, enam orang ke, 10 orang ke untuk kawal dia. Tapi mereka ingat, 10 orang pun kita datang sebat la. Walaupun bodyguard dia 10 ke 20, kita akan sebatlah. Tunggulah, kita akan serang hendap dia. Dia tidak aman, orang yang berniaga pun sama dengan dia tidak aman.

Pemberita: Kenapa?

Ali: Dia melakukan perbuatan pada 19 haribulan 11 untuk membuat himpunan akan menyusahkan orang-orang Kuala Lumpur meniaga, orang nak beli-belah, pelancong pun rasa takut nak datang, dan rasa negara ini seperti tidak aman dan tidak selamat. So Maria Chin pun tidak akan selamat selepas ini.

Pemberita: Maria Chin cakap kalau tuan buat exercise pinggang dia akan sediakan air untuk Tuan. Boleh saya dapatkan komen?
Ali: Dia kena ingat, saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera. Jangan cabar kami nanti kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala ke bawah jalan.
Pemberita: Maknanya macam angkat mayat?
Ali: Itu you saksikan akan terjadi dalam masa terdekat.
Pemberita: Tuan tak takut penjara? Atau tindakan polis?
Ali: Tak apa, itu undang-undang mahkamah menjatuhkan hukuman bukan dia yang menjatuhkan hukuman. Tetapi, Maria akan bertanggungjawab segala-galanya.
Pemberita: (Maknanya) Dia akan menerima balasan?
Ali: Dia pasang 10 komando pun, 10 bodyguard pun, bodyguard dia akan tumbang. Ini serang hendap.

1 comment:

  1. Jangan percaya lg kpd Ali tinju. Saksi bohong semua harus berwaspada apatah lg yg beragama Islam.

    ReplyDelete