Ketua Pemuda Gerakan berkata tuduhan ketua Baju Merah yang IS meresapi Bersih 2.0 juga akan menjejaskan industri pelancongan.
PETALING JAYA: Meskipun turut mengkritik Bersih 2.0, Pemuda Gerakan
tidak bersetuju dengan tuduhan Datuk Jamal Yunos yang kumpulan pendesak
perubahan pilihan raya itu “diresapi” oleh pengganas IS.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengakui Gerakan sangat keliru
dengan tuduhan yang serius itu, meskipun parti itu tidak bersetuju
dengan cara Bersih 2.0 mahu menjalankan demonstrasi mereka.
“Baju Merah atau sesiapa pun tidak boleh membuat tuduhan serius
‘pengganas’ terhadap Bersih 2.0 kecuali ada bukti kukuh untuk
menyokongnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada sidang media semalam, ketua Umno Bahagian Umno Sungai Besar itu
yang menerajui gerakan Baju Merah juga mendakwa Bersih 2.0 akan
mengepung Putrajaya dan lapangan terbang pada 19 November.
Jamal mendakwa menerima maklumat itu daripada “sumber boleh dipercayai”.
Tan berkata tuduhan Jamal akan semakin menjejaskan industri
pelancongan, dan demonstrasi jalanan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada
19 November akan memberikan “kesan serius” terhadap industri itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Baju Merah menghentikan tuduhan “pengganas” yang tidak berasas terhadap Bersih 2.0.
“Jika Baju Merah ada bukti kukuh terhadap tuduhan mereka, maka ia
patut diserahkan kepada polis untuk siasatan tanpa mempublisitikan
tuduhan yang belum dibuktikan,” katanya.
Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan kelima pada 19 November untuk
reformasi institusi dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
meletak jawatan.
No comments:
Post a Comment