Saturday, September 17, 2016

Persempadanan semula: MCA Selangor ‘pening’ masalah besar mungkin timbul

 | September 17, 2016
Cadangan persempadanan semula oleh SPR mungkin menyebabkan masalah sumber tidak mencukupi atau kekuatan sesebuah bahagian itu terjejas.
MCA selangorPETALING JAYA: Selain pembangkang, MCA Selangor turut mempersoalkan kajian persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

Oriental Daily memetik seorang pemimpin MCA yang tidak mahu dinamakan berkata, tindakan itu akan menjejaskan kekuatan di sesetengah bahagian kerana perlu menerima kemasukan bahagian lain.

Beliau berkata, masih tidak pasti jika pemimpin bahagian sedia ada akan menerima penyertaan pemimpin dari bahagian lain ke pasukan mereka.

“Ekoran perubahan terhadap kerusi dewan undangan negeri, pemimpin bahagian lain tentu mahu mendapat kuasa di bahagian baharu, termasuk mendapatkan lebih ramai perwakilan pusat. Macam mana hendak putuskan, ia adalah masalah besar seterusnya,” katanya.

Akhbar berbahasa Cina itu mengambil contoh MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan yang terdiri daripada kerusi DUN Taman Medan dan Bukit Gasing serta mempuntyai 50 cawangan.

Kini, ia dimasukkan ke DUN Seri Setia dan bakal menjadi bahagian yang sangat besar kerana jumlah cawangan dijangka bertambah kepada 70 dan masalah akan timbul untuk ‘menenangkan’ ahli lama dan baharu.
Selain itu, Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras pada asalnya adalah tiga kerusi DUN berasingan.

Tetapi, Bukit Lanjan kini dimasukkan ke Bahagian Damansara (asalnya di bawah Bahagian Petaling Jaya Utara) dan menyebabkan MCA Bahagian Subang mungkin kehilangan 25% ahli cawangan.

Pengerusi MCA Bahagian Subang, Raymond Low mengakui, beliau tidak memahami tindakan SPR itu, kerana Paya Jaras terletak berhampiran kerusi parlimen Selayang, tetapi ia tidak terjejas, sebaliknya Bukit Lanjan yang dimasukkan ke Damansara.


“Tiba-tiba memindahkan sebahagian cawangan sememangnya sukar diterima, kerana sebelum ini banyak usaha dilakukan untuk menyatukan ahli, kini ia perlu dimulakan sekali lagi, jadi kami sedang kumpul maklumat untuk memahami perubahan kerusi secara teliti,” katanya yang dipetik Oriental Daily.

Semalam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mahu SPR menjelaskan status 13 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai lebih 100,000 pengundi setiap satu kawasan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mendakwa persempadanan semula PRU14 berat sebelah bagi memastikan Umno kekal berkuasa.

Lim turut mendakwa persempadanan semula Pagoh bermotifkan politik dan mahu membunuh karier politik bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila jumlah pengundi di sana dikatakan berkurangan berbanding pilihan raya lalu.
SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan, bermula Khamis lalu hingga 14 Oktober ini.

Menurut SPR, bantahan mesti sampai kepada badan itu dalam masa sebulan sebelum 14 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment