Sunday, September 18, 2016

PKR akan hantar petisyen bantah persempadanan semula pada Agong

Malaysiakini 18/9/16

PKR akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa bertentangan prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata persempadanan semula perlu ditolak sehingga suruhanjaya bebas ditubuhkan seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada tahun 2012.
Beliau berkata PKR dan kerajaan Selangor akan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara itu bagi melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau mendakwa di bawah cadangan SPR, BN boleh menang hampir 10 peratus daripada 222 kerusi parlimen tanpa mendapat undi tambahan.
Selangor juga akan menghadapi risiko jatuh kepada BN, walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menguasai 65 peratus sokongan popular rakyat di negeri itu, katanya.

"Persempadanan semula ini bukan sahaja menyebabkan BN berada di tampuk pemerintahan selesa, tetapi berupaya untuk 2/3 majoriti di parlimen.

"Dengan mengandaikan tahap sokongan yang sama dan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang, persempadanan semula baru SPR boleh menyebabkan pembangkang menangung kesan di beberapa kerusi utama, di samping tidak memenangi sebarang kerusi baru sama sekali.
"Menurut pengiraan kami, persempadanan semula yang baru meninggalkan pembangkang dengan kemungkinan kurang daripada satu pertiga kerusi Parlimen (kurang daripada 74 kerusi).

"Membiarkan kerajaan yang sedia ada mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen adalah seumpama menyerahkan cek kosong ke dalam tangan BN," katanya.

No comments:

Post a Comment