KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangnya empat kawasan parlimen dan 16
kawasan Dun baharu perlu diwujudkan di negeri ini berdasarkan faktor
asas termasuk jumlah bilangan pengundi.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Terengganu, Ariffin Deraman berkata,
perkara itu sepatutnya dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
memandangkan sudah 23 tahun tidak berlaku persempadanan semula
melibatkan pertambahan kerusi dengan pertambahan kali terakhir berlaku
pada 1993.
Berdasarkan cadangan baharu bagi persempadanan semula negeri ini
khususnya, Ariffin berkata, ia sekadar melibatkan pecah sempadan pilihan
raya iaitu perubahan masuk dan keluar peti undi dalam kawasan Dun atau
Parlimen yang dilihat lebih bersifat politik.
“Sudah 30 tahun pertambahan Parlimen dan Dun tidak dibuat. Menjadi
tugas SPR mencadangkan supaya tambah Dun dan Parlimen dan bantahan itu
serahkan kepada kami iaitu orang politik (untuk membahas) khususnya di
peringkat Dun.
“SPR tidak sepatutnya keberatan kerana khuatir tidak dapat sokongan dua
pertiga daripada kerajaan atau pembangkang (jika pertambahan kerusi
disyorkan). Kami berasa kesallah usul di Terengganu sudah 30 tahun dan
kalau 10 tahun akan datang tetap begini, maknanya 40 tahunlah
persempadanan tidak akan berlaku… dan satu-satu Dun akan mengalami
jumlah pengundi yang besar. Di Dun mungkin mencapai 30,000 hingga 50,000
pengundi manakala Parlimen mungkin sampai 150,000 pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini.
Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut mencadangkan SPR lebih berani
memberi cadangan pertambahan kerusi dan tidak memikirkan kesukaran
mendapatkan sokongan dua pertiga khusus di Terengganu kerana ia menjadi
tanggungjawab ahli-ahli politik untuk membahaskannya di sidang Dun.
Jelasnya, menerusi usul persempadanan oleh SPR ketika ini, jumlah
bilangan pengundi yang dikenal pasti di satu-satu Dun menjadi tidak
seimbang dan di Wakaf Mempelam memperlihatkan pertambahan pengundi
sehingga kira-kira 31,000 orang.
“Kalau tengok Dun Bukit Besi kira-kira 12,000 orang, Paka 24,000, Sura
menjadi 25,000. Kenapa Bukit Besi sampai tinggal 12,000 orang?
Sepatutnya purata 18,000 hingga 20,000. Jumlah bilangan yang munasabah,”
katanya.
Beliau berkata, pertambahan kerusi Dun dan Parlimen bertujuan mengelak
kesulitan dan menyelesaikan masalah di sempadan daerah yang ketika ini
wujud satu Dun dalam daerah dan Parlimen berasingan.
Sebagai contoh katanya, Dun Teluk Pasu berada dalam daerah Kuala
Terengganu tetapi berada dalam Parlimen Kuala Nerus, Dun Alor Limbat
(Parlimen Marang, daerah Kuala Terengganu) dan Jabi (Parlimen Setiu,
daerah Besut).
No comments:
Post a Comment