Anwar Ibrahim mendapat sokongan paling tinggi daripada kaum India 46% dan Cina 43% berbanding kaumnya sendiri, 39%.
SHAH ALAM: Tinjauan mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim pilihan
pengundi Selangor untuk jawatan perdana menteri, mengatasi empat
pemimpin pembangkang lain.
Perkembangan itu diumum Institut Darul Ehsan (IDE) yang melakukan
tinjauan di 56 kawasan pilihan raya di Selangor melibatkan 1,761
pengundi daripada 26 Ogos hingga 30 Ogos.
Tinjauan itu juga mendapati Anwar bersama dua lagi bekas pemimpin
Umno menjadi pilihan utama responden; Anwar menerima sokongan 30%, bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 24% dan bekas timbalan perdana
menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 17%.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa berpuas hati dengan 15% dan 14% undi.
“Pengaruh dan aura beliau masih ada dalam masyarakat Selangor,” kata
Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman menjelaskan
penemuan tinjauannya di satu sidang media di Hotel Carlton di sini hari
ini.
“Sokongan Anwar berbanding Muhyiddin juga berbeza. Bila Anwar dipecat
sebagai TPM rakyat seluruh negara bangkit tetapi bila Tan Sri Muhyiddin
Yassin dipecat tidak ada siapa yang bangkit.
“Di situ sudah menunjukkan perbezaan (antara mereka),” katanya ketika
sesi pembentangan kaji selidik tinjauan IDE: Isu dan Persepsi Pengundi
Selangor.
Sementara itu, huraiannya menunjukkan Anwar mendapat sokongan paling
tinggi daripada kaum India 46% dan Cina 43% berbanding kaumnya sendiri,
39%.
Tinjauan juga mendapati 40% responden berpendapat Anwar perlu
menerajui Malaysia untuk mengembalikan keseimbangan dalam negara,
manakala 29% lagi tidak pasti.
Redzuan menjelaskan soalan berkaitan Anwar dibangkitkan dalam
tinjauan ini untuk melihat penerimaan rakyat Selangor terhadap ketua
umum PKR yang sedang menjalani hukuman 5 tahun penjara di Penjara Sungai
Buloh.
Anwar disabit kesalahan atas dakwaan salahlaku seks sejak Februari tahun lalu.
No comments:
Post a Comment