Tuesday, September 27, 2016

Tinjauan: Anwar masih relevan di Selangor

FMT | September 27, 2016
Anwar Ibrahim mendapat sokongan paling tinggi daripada kaum India 46% dan Cina 43% berbanding kaumnya sendiri, 39%.
anwar_selangor_600
SHAH ALAM: Tinjauan mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim pilihan pengundi Selangor untuk jawatan perdana menteri, mengatasi empat pemimpin pembangkang lain.

Perkembangan itu diumum Institut Darul Ehsan (IDE) yang melakukan tinjauan di 56 kawasan pilihan raya di Selangor melibatkan 1,761 pengundi daripada 26 Ogos hingga 30 Ogos.

Tinjauan itu juga mendapati Anwar bersama dua lagi bekas pemimpin Umno menjadi pilihan utama responden; Anwar menerima sokongan 30%, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 24% dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 17%.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa berpuas hati dengan 15% dan 14% undi.
“Pengaruh dan aura beliau masih ada dalam masyarakat Selangor,” kata Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman menjelaskan penemuan tinjauannya di satu sidang media di Hotel Carlton di sini hari ini.

“Sokongan Anwar berbanding Muhyiddin juga berbeza. Bila Anwar dipecat sebagai TPM rakyat seluruh negara bangkit tetapi bila Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat tidak ada siapa yang bangkit.

“Di situ sudah menunjukkan perbezaan (antara mereka),” katanya ketika sesi pembentangan kaji selidik tinjauan IDE: Isu dan Persepsi Pengundi Selangor.
Sementara itu, huraiannya menunjukkan Anwar mendapat sokongan paling tinggi daripada kaum India 46% dan Cina 43% berbanding kaumnya sendiri, 39%.
Tinjauan juga mendapati 40% responden berpendapat Anwar perlu menerajui Malaysia untuk mengembalikan keseimbangan dalam negara, manakala 29% lagi tidak pasti.

Redzuan menjelaskan soalan berkaitan Anwar dibangkitkan dalam tinjauan ini untuk melihat penerimaan rakyat Selangor terhadap ketua umum PKR yang sedang menjalani hukuman 5 tahun penjara di Penjara Sungai Buloh.
Anwar disabit kesalahan atas dakwaan salahlaku seks sejak Februari tahun lalu.

No comments:

Post a Comment