Thursday, September 15, 2016

'Tuduhan rasuah Lim tak akan cemari sambutan 50 tahun DAP'

15/9/16
Sambutan ulang tahun ke-50 DAP di Pulau Pinang tidak akan dicemari dengan tuduhan rasuah terhadap setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, kata Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo hari ini.

"Sebaliknya, kami menyatakan setiakawan terhadap Lim Guan Eng dan sambutan ulang tahun ini akan menjadi platform bagi kita untuk menunjukkan sokongan kami untuk beliau, seperti yang selalu kita nyatakan bahawa tuduhan terhadapnya tidak berasas," kata Jagdeep dalam sidang media di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sambutan ulang tahun ke-50 DAP di negeri itu akan dibayangi atau terjejas oleh kes rasuah berterusan terhadap ketua menteri berkenaan.

Lim akan berada di mahkamah pada 30 September ini untuk sebutan semula kes itu.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah kerana membeli sebuah banglo bernilai RM2.8 juta di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn dari ahli perniagaan, Phang Li Khoon.
Jagdeep berkata, perjuangan 50 tahun DAP di Pulau Pinang telah disusun dalam sebuah buku oleh ahli veteran Gooi Seong Kin, yang juga ahli jawatankuasa DAP negeri.

Gooi berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Pulau Pinang juga merupakan setiausaha politik kepada penasihat kanan DAP Lim Kit Siang dan pegawai khas kepada ketua menteri yang bertanggungjawab bagi pendidikan dan organisasi hal ehwal kaum Cina.
Buku Gooi menceritakan mengenai perjuangan, keringat, darah dan air mata DAP Pulau Pinang sepanjang 50 tahun, daripada sebuah parti pembangkang menjadi parti utama dalam kerajaan negeri sekarang, kata Jagdeep.

Buku bertajuk "DAP 50 - setengah abad perjuangan" itu akan dilancarkan pada pukul 11 ​​pagi, 24 September ini di ibu pejabat parti itu di Jalan Rangoon.
"Sejarah DAP membentuk sebahagian besar daripada sejarah politik Malaysia," kata Jagdeep yang juga anggota exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi perancangan bandar, desa dan perumahan.

No comments:

Post a Comment