Monday, October 17, 2016

Bergelut ketika ditarik masuk dalam van

Sinar Harian
Bergelut ketika ditarik masuk dalam van
Mohamad Darus menunjukkan laporan polis dibuat berhubung kes van putih melibatkan anaknya, ditemani Pengerusi JKKK Terachi, Maradzi Ismail. Gambar kecil: Lokasi kejadian.
KES membabitkan van putih turut menggemparkan penduduk di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, tahun lalu apabila seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah mendakwa hampir diculik tiga lelaki yang menaiki van berwarna putih.

Kejadian berlaku pada 24 Ogos lalu ketika pelajar berkenaan sedang menunggu bas di hentian bas di Terachi.

Bapa mangsa, Mohamad Darus Isa, 54, berkata, ketika kejadian, anaknya, Nurhidayah Mohamad Darus, 17, sedang menunggu bas untuk ke sekolah menengah di Tanjung Ipoh.

“Ketika bersendirian di hentian bas yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah, tiba-tiba sebuah van berhenti di hadapannya.
“Salah seorang lelaki turun, bertanya hendak ke mana sebelum mengajak anak saya naik van itu untuk dihantar ke sekolah. Tapi anak saya menolak kerana dia ingat nasihat saya supaya jangan ikut orang tak dikenali.

“Akibat enggan mengikut arahan lelaki itu, seorang lagi lelaki turun dari van dan menarik serta mengugut anak saya dengan satu pisau lipat,” katanya.

Menurutnya, anaknya turut dipukul di belakang badan dengan menggunakan objek keras.

“Anak saya cuba melepaskan diri, berlaku pergelutan sehingga cedera di tangan kanan akibat terkena pisau lipat. Nasib baik, anak saya berjaya melepaskan diri setelah dia berjaya menendang kemaluan salah seorang suspek.

“Memang saya sering berpesan dengan anak saya, kalau berada di situasi sebegitu, cara untuk pertahankan diri dengan menendang kemaluan mereka. 
Alhamdulillah, anak saya mempraktikkan apa yang saya katakan,” katanya yang juga merupakan seorang bekas anggota tentera.

Mohamad Darus berkata, selepas anaknya berjaya melepaskan diri, kesemua lelaki itu melarikan diri dengan menaiki van berkenaan menghala ke pekan Kuala Pilah.

“Saya dapat panggilan telefon dari ibu rakan anak saya yang memaklumkan tentang kejadian itu. Saya memang terkejut, terus ke rumah anak rakan di Kampung Mampas Kecil.

“Sebaik tiba, Nurhidayah menceritakan apa yang berlaku. Bila mendengar ceritanya, saya terus bawa dia ke Balai Polis Terachi untuk membuat laporan,” katanya ketika temui di rumahnya kampung Air Hitam Batu 16 ½ Terachi.
Menurutnya, walaupun berlaku kejadian itu, anaknya masih tetap menaiki bas ke sekolah kerana perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun itu.

No comments:

Post a Comment