Sunday, October 16, 2016

Institut hartanah gesa kerajaan tingkatkan IBS untuk turunkan kos rumah

FMT | October 16, 2016
Institut Pengurus Hartanah Profesional Malaysia menjangkakan harga hartanah tidak akan jatuh, dan pasaran akan pulih pada 2017
mippm
KUALA LUMPUR: Institut Pengurus Hartanah Profesional Malaysia (MIPPM) mengesyorkan agar kerajaan dapat meningkatkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan membenarkan pengenalan konsep ‘rumah kerangka’ untuk menjadikan perumahan lebih mampu dimiliki.

Presidennya, Sarkunan Subramaniam berkata, perumahan mampu milik adalah satu daripada isu penting dalam ekonomi Malaysia hari ini dalam usaha menyediakan lebih banyak rumah kepada orang ramai.
Berikutan itu, katanya, beberapa bidang perlu diberi tumpuan bagi mencari cara kreatif melaksanakannya.

Sarkunan yang juga Pengarah Urusan Knight and Frank Sdn Bhd berkata, bagi menurunkan kos pembinaan rumah, penggunaan IBS adalah cara berkesan dan kerajaan perlu menggalakkannya untuk digunakan lebih ramai pemaju dan kontraktor.

Dalam Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk dana penggalakan IBS yang boleh diperoleh melalui Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) bagi menawarkan pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor dalam kategori G5 dan ke bawah.
Pemegang lesen gred G5 yang diluluskan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, dibenar melaksanakan kontrak pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam bernilai tidak lebih RM5 juta.

“Selain menggalakkan IBS, kerajaan juga boleh menimbang untuk membenarkan pemaju membina ‘rumah kerangka’.
“Ia adalah konsep rumah tanpa struktur dalaman dan ini akan membolehkan pemilik mereka bentuknya mengikut keperluan mereka,” katanya kepada Bernama.

Menurut Sarkunan, konsep itu akan menjadi satu lagi cara rumah lebih mampu dimiliki kerana pembeli tidak perlu membayar untuk rumah dengan struktur dalaman standard yang tidak diperlukan mereka.

Sebaliknya, ini akan membolehkan mereka untuk mereka bentuk dan membina mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
“Halangan terbesar kami kepada konsep ini ialah undang-undang serta isu sijil layak menduduki, yang semuanya boleh ditangani sepertimana yang telah dilakukan Thailand dan Filipina,” katanya.
Mengenai pasaran hartanah Malaysia, Sarkunan berkata, ia agak lembap tahun ini dan dijangka pulih pada 2017 berdasarkan trend kitaran serta harga hartanah.
“Walaupun harga hartanah ketika ini tidak berubah, ia tidak mungkin akan jatuh,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengkaji masalah yang dihadap pembeli rumah dalam mendapatkan pinjaman bagi membeli hartanah, terutama untuk rumah pertama dalam usaha merangsang pasaran hartanah.

“Bank juga perlu digalak menukar cara mereka memberi pinjaman yang berdasarkan kepada pendapatan semasa.
“Sebaliknya bank juga perlu menimbang potensi peningkatan kerjaya pembeli dan pendapatan pada masa depan mereka dengan pembayaran balik boleh dinaikkan secara beransur-ansur,” katanya.

Sarkunan berkata, beliau berharap kerajaan tidak akan menaikkan cukai keuntungan hartanah dalam bajet akan datang dan sebarang langkah yang diperkenalkan kerajaan perlu membantu melonjakkan sentimen pasaran.

No comments:

Post a Comment