Saturday, October 29, 2016

Isu rumah: Jangan jadikan Selangor ‘kambing hitam’, kata Exco

FMT | October 28, 2016
Exco perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar itu berkata harga rumah di Kuala Lumpur dan Johor juga tinggi, bukan di Selangor saja.
iskandar
PETALING JAYA: Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kerajaan tidak sepatutnya menjadikan kerajaan negeri Selangor sebagai kambing hitam selepas gagal menstabilkan harga rumah.

Exco perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar itu berkata harga rumah di Kuala Lumpur dan Johor juga tinggi, bukan di Selangor saja.

“Tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyalahkan kerajaan negeri Selangor atas kenaikan harga rumah di Malaysia tidak masuk akal dan seperti melarikan diri daripada tanggungjawab.

“Kerajaan persekutuan tidak perlulah mencari kambing hitam setelah gagal menstabilkan harga rumah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Noh berhubung kenaikan harga rumah di Selangor disebabkan dasar perumahan negeri itu yang tidak memberikan subsidi.

Noh berkata Selangor hanya melaksanakan dasar dengan menetapkan kepada pemaju 30% daripada kawasan dimajukan perlu dibina rumah mampu milik.
Bagaimanapun, katanya Selangor tidak memberi subsidi kepada pemaju bagi membantu mengurangkan kos pembinaan rumah itu.

Iskandar berkata menerusi maklum balas yang diterimanya menunjukkan pemaju perumahan mula memberi tumpuan kepada pembinaan Rumah Selangorku apabila permintaan untuk membeli jenis rumah itu terus meningkat.
Katanya, kini lebih 70,000 orang mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku dan setakat ini permohonan daripada pemaju swasta untuk membina kira-kira 22,000 unit diluluskan.

“Terdapat pemaju yang tidak wajib membina Rumah Selangorku tetapi turut memohon untuk membinanya memandangkan insentif diberikan kerajaan negeri agak menarik.

‘”Pada hakikatnya rakyat Selangor berpeluang membeli rumah mampu milik atau Rumah Selangorku pada harga antara RM42,000 ribu hingga RM250,000.
“Harga maksima Rumah Selangorku, RM250,000 lebih rendah daripada harga maksima yang dibenarkan kerajaan persekutuan untuk rumah mampu milik iaitu RM300,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment