Friday, October 21, 2016

Khalid: Polis tidak akan minta maaf, doktor ditahan kerana lari ‘lintang pukang’

FMT | October 20, 2016
Khalid berkata, pasukan polis elit hanya menjalankan tugas dan jika tidak melakukan sebarang kesalahan, doktor itu tidak perlu lari.
khalid-doctor
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara hari ini mempertahankan tindakan sepasukan polis elit menahan seorang doktor di Hospital Serdang yang disyaki penjenayah, baru-baru ini, kerana suspek berlari “lintang pukang” ketika diserbu.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan memohon maaf kepada doktor terbabit kerana mereka hanya menjalankan tugas.

“Saya kesal apa yang berlaku, tapi tidak perlu minta maaf. Kami terpaksa menjalankan tugas kami yang ada di situ suspek, suspek yang terlibat dalam pecah rumah, pernah mencederakan mangsa dan sebagainya.
“Semasa sampai, kami memanggil semua orang berkumpul dan tidak melarikan diri, suspek termasuk doktor ini lari dan kami menganggap dia salah seorang suspek.

“Saya rasa anda semua tahu, jika anda tidak melakukan sebarang kesalahan, anda tidak akan lari,” katanya selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung ke-6 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.
Menurut laporan The Sun, seorang doktor di Hospital Serdang yang disangka perompak oleh sepasukan polis elit dicekup dan direbahkan ke atas lantai, sebelum digari dan disoal siasat untuk beberapa jam, pada 7 Oktober lalu.

Insiden itu berlaku apabila anggota elit Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (Stafoc) tiba dengan berpakaian hitam, lengkap dengan balaclava dan senjata berat, selepas menerima laporan sekumpulan perompak berada di ruang makan dekat tempat letak kereta hospital itu.

Doktor berusia 28 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dikasari polis dan insiden itu memalukan, kerana ketika kejadian beliau memakai pakaian doktor, dengan tag pengenalan hospital dan stetoskop di lehernya.

No comments:

Post a Comment