Monday, October 24, 2016

Ku Li akan tentang RUU tidak sejajar Perlembagaan

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata, beliau akan mengundi untuk menentang mana-mana rang undang-undang (RUU) yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian sedemikian, ujar anggota Parlimen Gua Musang itu, adalah selaras dengan sumpah beliau sebagai ahli Dewan Rakyat untuk melindungi dan mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika dibawa ke Parlimen, jika ia adalah sejajar dengan peruntukan dan pelbagai artikel dalam Perlembagaan, maka saya akan menyokong.
"Tetapi jika bertentangan dengan mana-mana bahagian dalam Perlembagaan atau tidak selaras dengan Perlembagaan, saya akan mengundi menentangnya," jelas beliau semasa majlis pelancaran sebuah buku esei mengenai Umno di Royal Lake Club di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan salah seorang peserta majlis itu mengenai pendirian beliau dalam pengundian RUU kontroversi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkaitan pengukuhan penguat kuasaan undang-undang syariah.

Ketika ditemui selepas itu, Tengku Razaleigh menambah, beliau tidak mengetahui tentang rancangan BN untuk meminda Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Ini adalah kali pertama saya mendengarnya," kata beliau.

"Saya tidak tahu," akuinya apabila dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan sedang berusaha untuk membuat semakan sendiri ke atas akta tersebut.

No comments:

Post a Comment