Sinar Harian
15 Oktober 2016
SEKINCHAN - Kumpulan Gerakan Merah V2 memilih kerja kebajikan dengan
bergotong-royong membina benteng menggunakan guni pasir sebagai
persediaan menghadapi fenomena air pasang besar berbanding berdepan
dengan konvoi Bersih 5 dari Sekinchan ke Tanjong Karang.
Penasihat Undang-Undang Gerakan Merah V2, Mohd Imran Tamrin berkata,
kumpulan itu berada di Sekinchan sejak kelmarin bertujuan membantu
penduduk tempatan bagi mengelakkan kediaman dan tanaman pertanian mereka
musnah.
Menurutnya, pada masa ini, fokus membantu rakyat adalah lebih utama
berbanding apa yang dilakukan baju kuning yang hanya bercakap dan
menabur fitnah kepada kepimpinan dan kerajaan sedia ada.
“Walaupun pertembungan antara merah dan kuning tidak berlaku, tetapi
mesej yang kita nak sampaikan tetap sama iaitu di mana kuning berada di
situ juga merah ada, tetapi fokus dan objektif kita berbeza iaitu
membantu anak-anak dan penduduk kampung menghadapi air pasang,” katanya.
Mohd Imran berkata, kumpulan yang terdiri daripada sukarelawan itu
turun padang bersama-sama bagi menggembeleng tenaga untuk membantu
kesejahteraan rakyat dalam menghadapi fenomena air pasang besar.
“Kita boleh lihat apakah Bersih ini mempunyai objektif yang jelas untuk
membantu mentransformasi negara, sedangkan mereka hanya sekadar omong
omong kosong dan menabur fitnah,” katanya.
Mengulas lanjut gotong-royong membina benteng itu, Mohd Imran berkata,
kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada penyokong berbaju merah
terlibat dalam aktiviti itu yang bermula di Parit 5 Sekinchan.
“Kerja meninggikan benteng menggunakan guni pasir ini diharap dapat
mengurangkan impak fenomena air pasang besar yang dijangka melanda
esok,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 3, 000 guni pasir dengan muatan 100 metrik tan
digunakan bagi meninggikan benteng sepanjang kira-kira 1.5 kilometer
masing-masing di pesisir pantai Sekinchan dan Parit 5 Ban Sekinchan, di
sini.
No comments:
Post a Comment