Sunday, October 23, 2016

'Lim beredar awal ketika Bajet untuk sambut Raja Perlis'

Malaysiakini 22/10/16

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau tidak ada di Dewan Rakyat semasa anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan itu semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib membentangkan Bajet 2017.

Katanya beliau beredar lebih awal kerana menyambut keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke Pulau Pinang untuk merasmikan sambutan 200 tahun Penang Free School, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Arkitek Sedunia 2016 Pertubuhan Arkitek Malaysia Bahagian Utara, di George Town hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau memahami mengapa mereka bertindak sedemikian. 
Anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' masih berlangsung.

Anggota Parlimen pembangkang turut membuat kecoh dengan mempamerkan plakad bernada sinis sebelum bertindak demikian.
Mengulas mengenai Bajet 2017, Lim berkata kerajaan negeri berharap kerajaan Pusat dapat meluluskan permohonan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Katanya ini kerana LTAPP kini begitu sesak dengan jumlah penumpang sudah melebihi kapasiti 6.5 juta setahun walaupun mengikut jadual jangkaan penumpang melebihi kapasiti itu adalah pada tahun 2020.
-Bernama

No comments:

Post a Comment