Tuesday, October 18, 2016

Papagomo diarah bayar RM300,000 kerana menfitnah

Malaysiakini
18/10/16
Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih popular dengan gelaran 'Papagomo' diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 di samping kos sebanyak RM30,000 kepada seorang peguam yang juga bekas Ahli Parlimen, Datuk Sukri Mohamed.

Perintah itu dikeluarkan setelah mahkamah sebelum ini mendapati artikel yang ditulis Wan Muhammad Azri merupakan fitnah terhadap Sukri yang juga seorang Ahli Majlis Kerajaan Kelantan, memetik laporan Sinar Harian Online.

Menurut laporan itu, perintah ini dikeluarkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohamad Rosli Mohamed Nawi setelah perbicaraan taksiran ganti rugi dijalankan.

Wan Muhammad Azri didakwa mengeluarkan artikel yang menyatakan Sukri menyelewengkan sejumlah wang yang dikaitkan dengan Istana Kelantan dan Yayasan Sultan Kelantan, katanya.
Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Hanif Idris.

Pada bulan Jun yang lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Wan Azri untuk menolak keputusan mahkamah yang memerintahkan dia membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

No comments:

Post a Comment