Saturday, October 1, 2016

Peguam desak ketua polis siasat kematian Azri dalam tahanan

 | September 30, 2016
Surendran berkata, Azri dijangkiti bakteria sejak ditahan di penjara pada 10 Ogos lalu, tetapi dia hanya dibawa ke hospital 5 hari kemudian.
azriKUALA LUMPUR: Peguam keluarga Azri Mohamed yang mati dalam penjara menggesa ketua polis negara menjalankan siasatan ke atas kes itu, susulan pelbagai keraguan yang timbul selepas bedah siasat ke-2, hari ini.

N Surendran berkata, keputusan penuh bedah siasat belum dikeluarkan, tetapi pakar forensik memaklumkan Azri mati akibat jangkitan bakteria di seluruh ususnya sejak ditahan dalam penjara.

“Namun, apa yang menjadi persoalan di sini ialah bagaimana dia boleh mengalami jangkitan bakteria pada ususnya ketika di dalam penjara? Ini terdapat kecuaian melampau dalam penjara.

“Ini satu perkara yang serius, sedangkan di penjara sendiri ada klinik kesihatan mereka. Mengapa mereka ambil masa panjang untuk membawa Azri ke hospital?
“Jika mereka membawa Azri dengan cepat ke hospital, sudah tentu dia hidup lagi,” katanya di luar bangunan forensik Hospital Kuala Lumpur.

Semalam, Surendran berkata, bedah siasat ke-2 Azri dijalankan hari ini, selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan dikemukakan kakak Azri, Norsyazmira Mohamed yang tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat pertama menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada jangkitan kuman di bahagian usus.

Azri ditahan di penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada 10 Julai lalu, atas kesalahan kecil memiliki dadah.
Ketika melawat Azri di penjara pada 10 Ogos lalu, Norsyazmira dilaporkan berkata, adiknya berada dalam kesakitan dan terpaksa dipapah sebelum boleh berjalan, selain Azri mengadu dipukul di dalam penjara.

Lima hari kemudian, polis memaklumkan ahli keluarga yang Azri dikejarkan ke Hospital Kota Bharu, di mana usus besarnya terpaksa dikeluarkan dan dia dilaporkan dalam keadaan koma, sebelum meninggal dunia pada 14 September lalu.

Sehubungan itu, Surendran mendesak Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat pengarah penjara dan pegawai yang menjaga Azri di penjara Pengkalan Chepa, sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat ke-2 yang mengambil masa sebulan untuk dikeluarkan.

“Kami tidak tahu apa rawatan yang dia terima. Tetapi, apa juga rawatan yang dia terima adalah daripada pihak klinik penjara.
“Kita minta ketua polis negara siasat mereka di bawah Seksyen 340A Kanun Keseksaan. Ini disebabkan Azri dijangkiti bakteria sejak di dalam tahanan penjara lagi pada 10 Ogos. Tetapi, dia (hanya) dibawa ke hospital pada 15 Ogos,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment