Malaysiakini 22/10/16
Pembiayaan untuk beberapa universiti awam utama dan hospital pengajar
telah dikurangkan ke tahap paling rendah selepas 2011, demikian menurut
Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen semalam oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan.
Antaranya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia
(UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, jumlah peruntukan bagi
UM - operasi dan perbelanjaan pembangunan - akan dikurangkan hampir
satu pertiga, 28.5 peratus.
Jumlah pembiayaan bagi tahun depan ialah RM378.0 juta di bawah Bajet 2017 berbanding RM528.9 juta dalam Bajet 2016.
Begitu juga dengan USM dan UKM di mana pembiayaan mereka dipotong
sebanyak 32 peratus. Pembiayaan USM dipotong daripada RM584.6 juta
kepada RM397.9 juta. Manakala peruntukan untuk UKM pula dikurangkan
daripada RM523.3 juta kepada RM356 juta.
Sementara itu, peruntukan bagi UPM akan dipotong daripada RM579.8
juta kepada RM466.9 juta, manakala pembiayaan untuk UTM akan dikurangkan
daripada RM580.6 juta kepada RM381.5 juta.
Di bawah Bajet 2017, Kementerian Pengajian Tinggi akan memperuntukkan
RM12.1 bilion, di mana RM7.1 bilion (tidak termasuk perbelanjaan
pembangunan) diperuntukkan untuk universiti dan hospital pengajar.
Sebagai perbandingan, kementerian tersebut diperuntukkan RM13.4
bilion di bawah Bajet 2016, dan RM15.8 bilion di bawah Bajet 2015.
Universiti dan hospital pengajar telah diperuntukkan RM8.8 bilion
dalam Bajet 2016, dan RM9.9 bilion dalam Bajet 2015. Angka ini termasuk
perbelanjaan 'one-off' dan pembiayaan untuk perubahan dasar, dan
peruntukan bagi tahun depan adalah yang kedua terendah sejak bajet
pertama Najib pada 2010 .
Pemotongan itu bermakna universiti awam akan menyaksikan pengurangan
pembiayaan kerajaan, walaupun jumlah enrolmen di banyak institusi
pendidikan tinggi itu dijangka meningkat atau sekurang-kurangnya kekal
stabil.
Bagaimanapun, UiTM dan UIAM adalah antara beberapa universiti yang menyaksikan trend sebaliknya.
UiTM akan menyaksikan pertambahan peruntukan daripada RM2 bilion
kepada RM2.5 bilion, disebabkan oleh peningkatan besar dalam
perbelanjaan pembangunan yang mengimbangi pemotongan dalam perbelanjaan
operasinya.
UIAM juga menyaksikan trend peruntukannya yang meningkat daripada
RM506 juta kepada RM754 juta, juga disebabkan rangsangan kepada
perbelanjaan pembangunannya.
No comments:
Post a Comment