Sunday, October 2, 2016

Penasihat persatuan: Aktiviti pembalakan di HSK Balah sah


Aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang dilakukan secara sah setelah mendapat kebenaran kerajaan negeri Kelantan dan ia tidak melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

Justeru, masyarakat Orang Asli di kawasan itu disaran agar tidak menghalang syarikat konsesi daripada mengeluarkan kayu balak di HSK Balah yang dikategorikan sebagai kawasan Hutan Pengeluaran.

Penasihat Persatuan Pembalak Negeri Kelantan, Datuk Roshaimi Razak berkata Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn Bhd telah diberi konsesi oleh kerajaan negeri bagi pengeluaran kayu balak di kawasan tersebut.

"Oleh itu pengeluaran balak di kawasan ini adalah sah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Roshaimi diminta mengulas tindakan sekumpulan masyarakat Orang Asli membuat sekatan bagi menghalang pengeluaran balak dari kawasan tersebut dan tindakan balas persatuan itu bersama pihak berkuasa merobohkan sekatan berkenaan, baru-baru ini.
Mereka membuat bantahan antaranya mendakwa kegiatan pembalakan telah menyebabkan berlaku pencemaran termasuk air sungai di kawasan penempatan mereka dan kepupusan tanah hutan.

Roshaimi berkata kawasan pembalakan tersebut adalah jauh dari kawasan penempatan penduduk Orang Asli dan tidak menjejaskan alam sekitar .

Katanya selepas mengetahui sekumpulan Orang Asli membuat sekatan, persatuan berkenaan bersama pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Perhutanan Kelantan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ke tempat kejadian Rabu lepas.

"Kita masuk ke kawasan tersebut untuk berunding supaya kumpulan berkenaan membuka halangan berkenaan dan ia dilakukan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard)," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan kumpulan Orang Asli itu kononnya pihaknya melepaskan tembakan dan menggunakan kumpulan samseng untuk menakutkan masyarakat tersebut.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Zahari Ibrahim mengesahkan bahawa pembalakan yang dilakukan di kawasan HSK Balah tidak melibatkan kawasan atau tanah rizab Orang Asli.

Beliau berkata syarikat yang melakukan kerja pembalakan tersebut adalah berlesen dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau menasihati penduduk terbabit agar membuat aduan kepada jabatannya sekiranya aktiviti pembalakan tersebut menjejaskan kehidupan masyarakat itu termasuk daripada aspek pencemaran alam sekitar, supaya tindakan boleh diambil terhadap syarikat pembalakan.

Sementara itu, di GUA MUSANG, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusof Abdul Ghani mahu isu tersebut diselesaikan secara muafakat antara syarikat konsesi dan penduduk Orang Asli.

Beliau berkata perkara itu memang sudah lama dibangkitkan penduduk Orang Asli termasuk yang tinggal di Pos Tohoi tetapi syarikat pembalakan dikatakan tidak mahu berbincang hingga timbul pelbagai masalah.

"Kaum Orang Asli juga ada hak ke atas kampung mereka yang terancam dengan aktiviti pembalakan dan pencemaran sungai dan sehingga ini belum ada jalan penyelesaian," katanya.
- Bernama 1/10/16

No comments:

Post a Comment