Sinar Harian
19 Oktober 2016
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin
mengakui terkejut dengan tindakan sebuah stesen penyiaran
memutarbelitkan ucapan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi
tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurut ahli Parlimen Sepang itu, ucapan Abdul Hadi dalam sidang Dewan
Rakyat semalam telah dipesongkan oleh wartawan yang tidak
bertanggungjawab.
Menurutnya, ucapan Abdul Hadi tidak disiarkan secara menyeluruh
menyebabkan rakyat boleh terpedaya dengan laporan pemberitaan stesen
penyiaran berkenaan.
“Secara jujurnya, keseluruhan ucapan MP Marang tidaklah menyokong GST
meskipun dalam mukadimah ucapan beliau ada menyatakan bahawa tidak
dinafikan GST adalah mekanisme yang berkesan untuk kutip cukai dan
selesaikan masalah orang tak bayar cukai.
“Tetapi,stesen berkenaan tidak mengamalkan etika kewartawanan yang
betul. Hanya ambil bahagian itu sahaja dan tidak siar keseluruhan ucapan
MP Marang. Saya ada di Dewan Rakyat masa MP Marang berucap!,” katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi semalam, Abdul Hadi
yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada Menteri
Kewangan tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST
yang dikenakan kepada rakyat.
Difahamkan, setelah soalan asal dijawab oleh Menteri, Abdul Hadi
berdiri pada sidang Dewan Rakyat yang sama sekali lagi untuk
mengemukakan soalan tambahan.
“Tan Sri yang di-Pertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian
murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri
daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan.
“Namun pun di sana ada impak Yang Berhormat sebut, dan kesan negatifnya
ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam
barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai
mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara, yang ke
luar negara, sungutan itu banyak.
“Sejauh mana langkah-langkah kerajaan dan penilaian terhadap
keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah kerajaan berfikir
untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada? Terima kasih,” soal
Abdul Hadi ketika mengemukakan soalan tambahan.
No comments:
Post a Comment