PERAI - Seorang pemandu lori tidak menyangka gurauan rakannya yang memberitahu ingin mati hari ini menjadi kenyataan apabila dia menjerut lehernya dengan tali sebelum terjun keluar daripada lori.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, pemandu lori dan rakannya itu dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar barang dari Bayan Lepas sebelum lelaki berkenaan melakukan tindakan di luar kawalan.
Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun dan berasal dari Kampung Changkat, Batu Kurau itu baharu tiga hari bekerja sebagai kelindan dengan syarikat pengangkutan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia,Tanjung Rambutan tiga tahun lalu.

Menurutnya, keterangan daripada isteri lelaki terbabit turut menyatakan suaminya sebelum ini mendengar suara halus selain merasakan seperti diekori.
"Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut" katanya.