Monday, October 24, 2016

Sorok minyak masak: Jangan hanya siasat peniaga

minyak masak
Gambar hiasan.
SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kementerian tidak hanya menyiasat peniaga yang menyorokkan stok minyak masak daripada terus dijual kepada pembeli di pasaran.
Sebaliknya menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pemeriksaan juga harus dibuat ke atas kilang-kilang pengeluar minyak masak yang dikhuatiri sengaja menyekat bekalan pengedaran minyak masak.

“Bukan hanya peniaga yang perlu disiasat bahkan kilang pengeluar (minyak masak) juga. Bila kerajaan umumkan subsidi minyak ditarik, semua pihak mahu ambil kesempatan.

“Kita khuatir ada pembekal yang sengaja mengurangkan jumlah pengedaran minyak masak sehingga bulan depan. Ini membolehkan mereka memperoleh lebih keuntungan berbanding penjualan harga minyak masak dengan harga subsidi asal,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan.
Ia berikutan pemansuhan subsidi oleh kerajaan di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini.

Harga minyak masak akan meningkat sebanyak RM0.40 sen bagi sekilo dan RM1.90 bagi 5kg akan meningkatkan semua harga barangan.
“Pihak kami sudah melakukan tinjauan di sesetengah lokasi dan memang kita dapati kebanyakan premis perniagaan telah kehabisan minyak masak.

“Malah kami juga banyak menerima aduan daripada orang ramai yang tidak dapat membeli minyak masak kerana tiada minyak masak di jual di premis perniagaan,” katanya lagi.

Ujar Nadzim lagi, rakyat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha membendung penyelewengan sebegini daripada terus berlaku.
“Guna saluran betul dan sampaikan maklumat yang tepat bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan serbuan dan siasatan.

“Rakyat perlu tahu kuasa yang ada di tangan mereka dan jangan biarkan peniaga dan pengilang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan di atas kesusahan kita,” tegasnya lagi.

1 comment: