Sinar Harian
23 Oktober 2016
SHAH ALAM - Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak di Dewan Rakyat kelmarin, dilihat kurang kukuh dalam
meningkatkan pertubuhan dan daya tahan ekonomi yang boleh memberi
kesejahteraan kepada rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra
Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berkata, terdapat beberapa perkara
menyebabkan objektif itu gagal.
Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada peruntukan bajet itu untuk
perbelanjaan pengurusan, manakala hanya 18 peratus diperuntukkan untuk
perbelanjaan pembangunan.
“Sepatutnya dalam keadaan ekonomi sederhana seperti sekarang, kerajaan
perlu tingkatkan perbelanjaan pembangunan kerana ia pelaburan jangka
masa panjang yang memberi kebaikan kepada generasi berikutnya,” katanya
kepada Sinar Harian.
Hal itu katanya, pengurangan cukai masa kini bermaksud kenaikan cukai masa hadapan.
"Begitu juga hutang hari ini akan dibayar pada masa hadapan oleh
generasi berikutnya. Jika hutang masa kini digunakan untuk pelaburan,
maka ia beri kebaikan kepada generasi akan datang," katanya.
Selain itu katanya, usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi dan mencari potensi pertumbuhan baharu tidak diberi keutamaan.
“Hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negeri Kasar dijana daripada
industri berasaskan minyak sawit dan petroleum. Usaha pelbagaikan
ekonomi dan cari sumber pertumbuhan baru sangat penting bagi memastikan
ekonomi tidak terdedah kepada faktor luaran seperti kejatuhan harga
komoditi,” katanya.
Jelas Mohd Yusof, struktur pasaran pengeluaran makanan di Malaysia
bersifat oligopolistik, namun tiada usaha untuk mengubah struktur
pasaran tersebut.
“Bekalan input dikawal secara langsung dan tak langsung oleh firma.
Jika kerajaan laksanakan liberalisasi pasaran dengan galakkan
persaingan, ia akan membantu usaha mengurangkan tekanan kos hidup
melalui penurunan harga,” katanya.
Beliau berkata, langkah perlu diberi perhatian adalah mekanisme Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Saya terkejut bila BR1M dinaikkan, sepatutnya ia diperkemaskan. Saya
jangka BR1M kalau diteruskan pun, jumlah itu dikekalkan ataupun
dikurangkan sedikit memandangkan keadaan ekonomi ketika ini.
“Agihan itu perlu mengikut latar belakang sosio-ekonomi isi rumah.
Jadikan ia sebagai reward bagi menaikkan semangat rakyat untuk bina
sebuah keluarga cemerlang, mampu didik anak-anak ke universiti
contohnya, bukan menunggu dan berpeluk tubuh, lalu dapat wang BR1M,
produktiviti rakyat akan hilang, maka lahirlah golongan malas dan tunggu
wang bantuan,” katanya.
Jelasnya, Bajet 2017 juga tiada 'model' atau mekanisme holistik bagi
mengurangi beban kos hidup melalui pengawalan harga makanan.
"Saya jangka tahun depan harga makanan terus naik kerana inisiatif
Bajet 2017 tidak terarah isu sebenar iaitu struktur pasaran,” katanya.
Namun katanya, ada beberapa inisiatif masih membantu rakyat dan pelajar
contohnya isu agihan Baucar Buku 1Malaysia ditukar kad debit.
“Rakyat berpeluang menjana pendapatan sebagai pemandu Uber, itu satu cara bagus,” katanya.
Dalam soal pendidikan, katanya penekanan hanya di peringkat sekolah
rendah dan menengah, untuk universiti tidak begitu difokuskan termasuk
bantuan penuntut.
"Target pendidikan rendah sama sahaja bajet tu dengan tahun lepas,
peruntukan universiti penyelidikan diminta dari tahun lepas.
"Bagi saya bajet ini tidak berkesan untuk mengurangi kos sara hidup, jika ada pun cukup minimum," katanya.
No comments:
Post a Comment