Kira-kira 20 ahli Parlimen pembangkang membawa
sepanduk menuntut hak mereka untuk menyuarakan pendapat pada persidangan
Dewan Rakyat tanpa ancaman ditangkap.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 20 ahli Parlimen pembangkang hari ini
memutuskan membawa aduan mereka kepada ketua polis negara untuk
membantah penangkapan ahli-ahli Parlimen sejak kebelakangan ini dan
sabitan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli minggu lalu serta
gesaan melepaskan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Diketuai Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail, mereka berjalan sejauh kira-kira 1km ke Bukit Aman, membawa
sepanduk yang menggesa perlindungan hak ahli Parlimen dan penggunaan
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Turut serta dalam kumpulan itu ialah bekas timbalan perdana menteri
dan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Kit Siang
(DAP).
Pemimpin PAS tunggal yang menyertai mereka adalah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
“Kami menuntut melepaskan Maria Chin. Saya rasa penahanan beliau
adalah satu penyalahgunaan kuasa di bawah Sosma, kerana undang-undang
itu hanya bertujuan untuk menghalang aktiviti keganasan yang boleh
menjejaskan keselamatan negara,” kata Muhyiddin, sambil menambah
penangkapan Maria adalah melanggar Perlembagaan.
“Maria adalah seorang ibu dan aktivis. Perhimpunan Bersih 5 pada
Sabtu lalu juga membuktikan ia adalah perhimpunan aman dan aktivis tidak
menyebabkan sebarang masalah.”
Beliau menambah, tindakan mengurung Maria oleh pihak polis sebagai tindakan “tidak berperikemanusiaan”.
Ini merupakan kali ke-2 ahli Parlimen pembangkang mengadakan perarakan ke Bukit Aman.
Pada April tahun ini, kira-kira 50 Ahli Parlimen berarak ke sana untuk membantah penahanan Rafizi.
Empat ahli Parlimen antara yang ditahan sebelum dan selepas perhimpunan Bersih 5 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ahli DAP, Anthony Loke (Seremban) dan Jimmy Wong (Kota Kinabalu)
ditahan pada Jumaat, manakala ahli Parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin
(Ampang) dan Tian Chua (Batu) ditahan pada malam Sabtu.
Polis menahan Rafizi awal tahun ini kerana mendedahkan
dokumen-dokumen daripada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia
Rasmi (OSA) 1972. Dokumen itu mengaitkan 1MDB dengan Lembaga Tabung
Angkatan Tentera (LTAT).
Minggu lalu, ahli Parlimen Pandan itu didapati bersalah atas 2
tuduhan membocorkan maklumat daripada laporan sulit audit 1MDB dan
dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Mahkamah, bagaimanapun, membenarkan permohonan Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.
FMT
No comments:
Post a Comment