Friday, November 25, 2016

Amanah tubuh jawatankuasa bincang RUU 355, elak salah faham

 | November 24, 2016
Mujahid berkata, ia bagi memastikan tiada sebarang salah faham dan kekeliruan timbul berhubung RUU 355 Hadi bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
Mujahid-amanah-hudud-1
KUALA LUMPUR: Amanah mengambil inisiatif mengelakkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan presiden PAS daripada menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat majmuk.

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi meninggalkan pindaan RUU 355 itu tergantung dan parti itu bertindak menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membincangkan perkara itu secara menyeluruh.

Katanya, ia bertujuan membantu menjelaskan perkara mengenai RUU yang berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Kami akan mempelawa ahli Parlimen PAS, PKR, DAP dan malah Umno menjadi sebahagian daripada jawatankuasa ini. Ia supaya kami semua boleh duduk, berbincang dan jelaskan.

“Jika tidak, keadaan tidak terkawal dan boleh mencetuskan kebencian di kalangan rakyat negara ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Mujahid mendakwa beliau mencadangkan idea itu di Dewan Rakyat hari ini, tetapi ditolak speaker.

Sehubungan itu, Amanah akan meneruskan cadangan berkenaan yang sudah mendapat sokongan serta komitmen beberapa wakil rakyat.
“Ahli Parlimen PAS Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) dan beberapa wakil rakyat lain bersetuju dengan jawatankuasa itu. Kita mahu semua ahli Parlimen, tanpa mengira agama atau bangsa mengambil bahagian,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.
Hadi sekali lagi menangguhkan perbahasan RUU 355 dengan sedikit pindaan yang mencadangkan hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan”.

Ketika ini, Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman pada kadar maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan.
Hadi berkata, pindaan itu akan diterangkan secara terperinci pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pada 5 Oktober lalu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu turut membentangkan cadangan balas terhadap usul RUU 355 yang dibentangkan Hadi.

Cadangan baharu itu menyarankan penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai ketua hakim Mahkamah Syariah dari setiap negeri, profesional dan agamawan serta pihak berkuasa berwajib bagi menyelia langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah, termasuk meningkatkan kecekapan melalui penajaman kehakiman kakitangan dan hakim.

Ia juga mahu meningkatkan pemahaman dan sokongan institusi, jabatan kerajaan serta pihak swasta terhadap peranan Mahkamah Syariah, menilai semula skim gaji hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah, serta menilai semula keberkesanan jenis hukuman dan had hukuman Mahkamah Syariah.
FMT

No comments:

Post a Comment