Sunday, November 27, 2016

Kelantan belum pasti sertai Liga-M

Nik Aminaldin Nik Jaafar
Nik Aminaldin Nik Jaafar
GERGASI pantai timur, Kelantan berdepan masa depan tidak menentu berhubung penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Keputusan sama ada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia mengekalkan skuad utama mereka beraksi dalam kancah utama liga domestik itu hanya akan dapat diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Nik Jaafar tidak menolak segala kemungkinan termasuk Kelantan bertindak menarik diri sekiranya badan induk bola sepak negeri itu masih gagal mendapatkan sumber penajaan daripada pihak luar, dalam tempoh terdekat ini. 

“Bon jaminan RM3 juta seperti yang diumumkan bekas presiden Kafa (Tan Sri Annuar Musa) baru-baru ini hanyalah sekadar satu jaminan bagi memastikan Kelantan boleh beraksi dalam Liga-M musim depan.

“Tetapi untuk menyediakan pasukan bermula daripada sekarang, kita mesti ada duit yang cukup di tangan sekurang-kurangnya RM3 juta bagi mencari empat pemain import serta membayar gaji pemain untuk bulan akan datang (Disember dan Januari),” katanya kepada Sinar Harian.

Kafa dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan mereka membentuk pasukan baharu untuk kembali bersaing secara kompetitif dalam Liga-M musim depan.

Menurutnya, setakat ini tidak ada pihak yang bersedia tampil membantu Kafa bagi menyelamatkan masa depan sukan yang menjadi kegilaan penyokong The Red Warriors itu.

“Kafa sentiasa memikirkan masa depan bola sepak kerana ia menjadi milik seluruh rakyat Kelantan tetapi apabila sudah sampai ke satu peringkat, kita (exco) sendiri seperti tidak terdaya lagi mencari dana untuk persatuan ini.
“Hakikatnya, keperluan (mendapatkan dana) itu mesti dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu ini. Masa semakin suntuk buat Kafa, pertengahan bulan depan akan tentukan nasib Kelantan sama ada (boleh) beraksi atau sebaliknya (dalam Liga-M),” katanya.

No comments:

Post a Comment