Khalid Samad gembira dengan kenyataan setiausaha
agung Umno yang parti itu tiada mempunyai sebarang kaitan dengan
serangan terhadapnya pada Khamis lalu.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Amanah, Khalid Samad hari ini berkata
beliau tidak percaya Umno mengarahkan ahli-ahlinya menyerang beliau di
luar bangunan Parlimen pada Khamis.
“Saya tidak fikir Umno sebodoh itu,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Ahli Parlimen Shah Alam itu mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno
Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menafikan penglibatan parti itu
dalam kekecohan 2 hari lepas.
Tengku Adnan juga berkata kepimpinan parti tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada kumpulan yang menyerang Khalid.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga menyatakan beliau memandang
serius kejadian itu dan menggesa semua orang menghormati kesucian
Parlimen.
Bercakap dalam nada lebih menjurus kepada berdamai, Khalid juga percaya perusuh yang marah itu tidak bertindak bagi pihak Umno.
Khalid “gembira” membaca kenyataan Tengku Adnan, dan menunjukkan apa yang berlaku adalah salah dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Khalid berkata, kenyataan Tengku Adnan juga menunjukkan Umno mahu menjauhkan diri daripada sebarang kekecohan.
“Sama ada orang percaya atau tidak, itu perkara lain.”
Khalid seterusnya menyatakan orang ramai pasti akan membandingkan
hukuman yang dikenakan kepada sepasang pasangan suami isteri diganggu
seorang pegawai penguat kuasa wanita dan tindakan yang beliau sifatkan
sebagai perkara “tidak dirancang”.
(Semalam, pasangan suami dan isteri dihukum penjara 14 hari dan denda
RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menganggu seorang
pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas mengeluarkan tiket
sama bagi kesalahan letak kenderaan.
Pasangan itu memperoleh penangguhan pelaksanaan dan kini merayu)
“Bagaimanapun, dalam kes saya, saya percaya rusuhan yang menimpa sudah dirancang,” kata Khalid.
Pada Khamis, Khalid diserang perusuh semasa memasuki bangunan Parlimen.
Bagaimanapun, beliau bernasib baik apabila pegawai keselamatan datang
menyelamatkan keadaan dan menghalang kejadian menjadi lebih buruk.
Difahamkan terdapat seorang pegawai cedera dalam kejadian huru-hara itu.
Sekumpulan lelaki mengacau Khalid dan menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak! “.
Antara yang turut serta dalam rusuhan itu adalah anak Ahli Parlimen
Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan dipercayai mereka yang lain
adalah ahli Pemuda Umno dari Pasir Salak.
Mereka berada di sana untuk menunjukkan rasa marah terhadap Khalid,
yang menggelar Tajuddin sebagai “menteri sial” selepas beliau merujuk
kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita
dengan Kok” di Parlimen pada Isnin.
Polis menahan 11 orang bagi membantu siasatan dalam kejadian itu dan
serta untuk mengetahui bagaimana kumpulan itu memasuki kawasan Parlimen.
FMT
No comments:
Post a Comment