KUALA LUMPUR - Satu taklimat khas akan diadakan hari ini untuk semua
Ahli Parlimen beragama Islam mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah
Syariah, untuk meminda Akta 1965 (Bidang Kuasa Jenayah).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah
menandatangani notis mengalu-alukan kedatangan Ahli Parlimen menghadiri
taklimat itu yang dijadualkan jam 5 petang ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: RUU 355: Hadi jawab kekeliruan bukan Islam]
Difahamkan taklimat akan diadakan di Bilik Taklimat, Blok Sementara, bangunan Parlimen.
RUU yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang bertujuan untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam
mengenakan hukuman yang lebih berat kepada Orang Islam kecuali hukuman
mati.
Abdul Hadi sebelum ini dipetik sebagai berkata, parti itu sedia
berdialog dengan pemimpin agama bukan Islam bagi menjelaskan beberapa
kekeliruan berhubung pindaan RUU355 yang diusulkan di Parlimen.
Antara isu yang sering dimainkan kalangan pemimpin bukan Islam ialah
mengaitkan pindaan RUU 355 sebagai usaha membuka pintu ke arah
pelaksanaan hudud.
“Hukum hudud adalah di luar daripada RUU 355, tapi nampaknya terus
dijadikan senjata bagi menentang Islam secara terbuka,” katanya.
RUU itu dibentang pada Mei lepas dalam satu langkah yang mengejutkan
oleh kerajaan kerana mengutamakan usul peribadi ke atas usul kerajaan
tetapi Hadi, yang merupakan Ahli Parlimen Marang, meminta bahas
ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment