Friday, December 23, 2016

Jamal 'rasmikan' resortnya setelah disita semalam

Jamal 'rasmikan' resortnya setelah disita semalam
Jamal melakukan 'simbolik perasmian' resortnya sendiri, petang tadi.
SEKINCHAN - Jika semalam, Sekin Fisherman Village Hotel & Resort disita Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), namun pemiliknya, Datuk Seri Jamal Md Yunos petang tadi, tampil berani apabila 'merasmikan' resort berkenaan.

Selain memotong reben di hadapan pintu penyambut tetamu resort itu, Jamal turut menanggalkan notis perintah tutup dan turut memotong pita pelekat sitaan di hadapan premisnya.
Jamal dalam ucapan ringkasnya selepas 'majlis simbolik' itu turut menawarkan potongan sebanyak 87 peratus kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan barisan exconya untuk menginap di resort berkenaan.

"Dalam waktu sebulan ini setelah perasmian resort, saya memberikan potongan harga 50 peratus kepada pengunjung.
"Kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Pegawai Daerah Sabak Bernam dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam pula saya berikan diskaun sebanyak 60 peratus," katanya.
Ketua Gerakan Baju Merah itu memberitahu, pihaknya telah memohon kebenaran merancang daripada MDSB dan telah melantik konsultan bagi urusan itu.

"Semua permohonan berhubung syarat-syarat untuk membangunkan kawasan ini telah mendapatkan kelulusan merancang dan kelulusan-kelulusan lain daripada MDSB, tapi persoalannya, kenapa sekian lama kami telah jalankan operasi berniaga di sini kami tidak diberikan lesen," katanya.

Ujar beliau, resort yang diusahakannya itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri bersama ibu dan adik beradiknya yang lain sejak beliau masih kecil.
"Kami usahakan resort ini kerana ingin bawa nama Sekinchan ini ke mercu negara dan dunia dan ia telah terbukti dan berjaya sebab ramai pelancong daripada Eropah datang ke sini...tiap-tiap bulan saya boleh tunjukkan nama mereka yang datang ke resort ini.

"Harapan saya telah pun berjaya, tetapi yang tidak berjayanya ialah untuk mendapatkan lesen perniagaan kerana isu politik semata-mata," katanya.
Jamal mendakwa, terdapat campur tangan 'orang atasan' yang mengarahkan MDSB untuk menyita dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam untuk merobohkan struktur bangunan bersebelahan resort berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya telah mengarahkan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang dan ganti rugi dialaminya selepas kerja-kerja merobohkan struktur bangunannya kelmarin.
Jamal turut menegaskan agar tindakan penguatkuasaan tidak hanya dilakukan terhadap resortnya semata-mata, tetapi juga di bangunan lain seperti pusat judi dan sebaginya.

"Jangan orang DAP sahaja dibenarkan jalankan perniagaan, sedangkan ahli Umno diambil tindakan dengan tindakan perobohan dan sitaan seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment