Ia bagi mematuhi garis panduan pensijilan halal oleh Jakim, kata McDonald’s Malaysia.
PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia mengesahkan hanya kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke rangkaian restoran mereka.
Dalam satu kenyataan kepada FMT, McDonald’s berkata dasar itu bagi
mematuhi garis panduan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim).
“Sebagai syarikat yang hanya menawarkan produk yang disijilkan halal,
kami melaksanakan dasar melarang makanan luar dibawa masuk bagi
menjamin setiap produk dalam premis adalah halal.
“Namun kami membuat pengecualian bagi majlis hari jadi dan
membenarkan pelanggan membawa kek mereka sendiri, dengan syarat ia
mendapat sijil halal,” kata McDonald’s.
McDonald’s menjelaskan dasar itu amat penting bagi menjaga kewibawaan
pensijilan halal mereka dan menjamin akan terus mematuhi piawaian yang
ditetapkan Jakim.
Hari ini tersebar imej suatu notis di internet yang menyatakan hanya
kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke premis rangkaian makanan
segera popular itu.
“Adalah penting untuk semua pelanggan mematuhi peraturan ini tanpa
sebarang pengecualian, kerana ia melibatkan status pensijilan Halal
untuk restoran McDonald’s di Malaysia,” kata Jabatan Hal Ehwal Halal
McDonald’s Malaysia, seperti dinyatakan notis itu.
Jakim, ketika dihubungi FMT berkata, garis panduan mereka bertujuan,
antara lain, bagi mengelakkan percampuran bahan dan keraguan terhadap
premis yang mendapat status halal.
“Apa sahaja produk yang berada dalam premis yang berstatus halal
perlu juga mendapat pensijilan halal,” kata Pengarah Bahagian Hab Halal
Jakim, Dr Sirajuddin Suhaimee.
Tambahnya, tanggungjawab terletak kepada pihak syarikat yang mendapat sijil halal untuk memastikan garis panduan itu dipatuhi.
“Dalam soal sambutan hari jadi di McDonald’s misalnya, pelanggan
tentunya perlu berhubung dengan pengurusan dulu. Maka tanggungjawab
pengurusan untuk memastikannya,” katanya.
Sirajuddin menambah pelanggan bukan Islam juga tertakluk kepada garis panduan itu.
No comments:
Post a Comment