Saturday, December 24, 2016

Penduduk Syria mula pulang ke Aleppo

Sinar Harian
Penduduk Syria mula pulang ke Aleppo
Seorang lelaki Syria berjalan di daerah Salaheddin yang dikuasai pemberontak di bandar Syria utara Aleppo
ALEPPO - SYRIA. Beratus-ratus rakyat Syria kembali ke bandar tersebut Jumaat lalu untuk memeriksa rumah mereka selepas pemberontak meninggalkan kawasan itu pada hari sebelumnya, lapor voanews.com.

Para penduduk kelihatan menyeberangi kawasan perumahan yang sebelum ini sangat berbahaya semasa pertempuran Aleppo berlangsung dengan kot tebal mereka dan mencari barang peribadi mereka di sebalik runtuhan bangunan di situ malah ada di antara mereka tidak pernah pulang ke rumah sejak lima tahun lalu.

Walau kebanyakan dari bandar tersebut telah bebas dari pertempuran namun begitu, masih terdapat keganasan yang berterusan di beberapa bahagian.
Televisyen tempatan turut melaporkan bahawa pemberontak di luar Aleppo telah mengebom satu kejiranan di dalam bandar tersebut dan membunuh 3 orang pada Jumaat lalu.

Balai Cerap Syria berpangkalan di Britain untuk Hak Asasi Manusia yang memantau keganasan mendakwa serangan bermula di kawasan yang dikuasai oleh pemberontak desa, luar dari Aleppo buat pertama kali sejak operasi memindahkan penduduk berakhir.

Selain itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa bahawa pemindahan penduduk Aleppo ini adalah ‘operasi kemanusiaan antarabangsa yang terbesar di dunia moden ini’ serta tidak mungkin dapat dicapai tanpa penglibatan aktif Rusia, Turki dan Iran.

“Iran, Turki dan Syria telah bersetuju mengadakan perbincangan damai di ibu negara Kazakhstan, Astana untuk menyelesaikan konflik di Syria.
“Rundingan Damai ini dijangka akan diadakan pada bulan Januari,” katanya sewaktu sidang media akhir tahunnya.

Putin juga turut memuji kerja bagus yang dibuat oleh Presiden Syria, Bashar al-Assad mengenai konflik yang melanda negara itu dan menambah bahawa langkah seterusnya buat Syria ialah mengadakan gencatan senjata.

Khamis lalu, Kerajaan Assad mengumumkan mereka mempunyai kawalan penuh terhadap bandar besar Aleppo buat kali pertama sejak 2012.
Sementara itu, pasukan pemberontak bersetuju untuk keluar dari bandar tersebut selepas serangan yang berlaku sejak sebulan lalu.

No comments:

Post a Comment