SKUDAI - Ahli Parlimen Ampang bersedia melepaskan kerusi Parlimen
Ampang yang disandangnya bagi bertanding di mana-mana negeri yang ingin
ditawan Pakatan Harapan termasuk Johor pada Pilihanraya Umum Ke-14
(PRU14).
Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR berkata, kejayaan Pakatan
Harapan menawan Johor sebagai 'front-line' pada pilihanraya akan datang
bermakna kejayaan menawan Putrajaya sekali gus menumbangkan BN.
Katanya, kepimpinan tertinggi parti juga berhasrat untuk meletakkan
calon 'high profile' pada PRU14 di negeri yang dijangka dilanda
gelombang tsunami kedua, justeru Zuraida tidak gentar untuk bertanding
di mana-mana kerusi di negeri ini.
"Saya tidak gentar malah bersedia membantu parti dan Pakatan Harapan
untuk menawan negeri yang disasarkan pada PRU14 khususnya Johor yang
menjadi 'front-line'..malah saya juga bersedia meninggalkan (parlimen)
Ampang yang disifatkan sebagai kerusi selesa untuk beralih tempat.
"Malah kepimpinan tertinggi juga turut memberi galakkan serupa untuk
meletakkan calon bersifat 'high profile' bagi menawan negeri yang masih
diperintah BN kerana rakyat mula menunjukkan isyarat akibat muak dengan
pelbagai skandal yang terpalit dengan pemerintah selain tertekan dengan
kos sara hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Konvensyen Wanita PKR Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Ketua Wanita PKR, Tan Poh Lai dan Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abd Ghani.
Zuraida juga yakin selain mampu mengekalkan pemerintahan di Selangor
dan Pulau Pinang, Pakatan Harapan juga bakal menumbangkan BN di empat
negeri akibat tsunami politik seperti Johor, Kedah Perak dan Sabah
berikutan keputusan beberapa pemimpin meninggalkan Umno.
Katanya, pengundi melayu juga telah mempunyai pilihan lain selain Umno
selepas tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang diterajui
Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru tidak mustahil pembangkang mampu menawan negeri yang bersifat
50-50 seperti Melaka dan Negeri Sembilan pada pilihanraya akan datang.
Dalam perkembangan lain, Zuraida juga mengakui berpuas hati dengan
prestasi ditunjukkan Wanita PKR Johor selepas diterajui Rahamizon.
"Walaupun sebelum ini prestasi Wanita PKR Johor adalah bersifat 'yoyo'
semenjak parti ditubuhkan pada 1998, namun kepimpinan diperingkat
negeri telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
"Justeru kita diperingkat pusat juga telah mengemukakan cadangan dengan
kepimpinan negeri untuk meletakkan empat calon wanita untuk bertanding
di Johor pada pilihanraya akan datang. Saya sendiri akan kerap turun
padang untuk membantu,"katanya.
No comments:
Post a Comment