Thursday, January 12, 2017

3 parti pembangkang tuntut Annuar Musa jawab dakwaan TMJ

FMT | January 12, 2017
Dakwaan menggunakan dana Mara dan UniKL demi selamatkan bola sepak Kelantan perlu diperjelaskan Annuar Musa
annuar-musa_kafa_600PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa digesa menjelaskan dakwaan penggunaan duit tajaan daripada Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja pasukan Kelantan sehari sebelum pelancaran jersi pasukan itu di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Kota Bharu.
Tuntutan itu dibuat 3 parti pembangkang hari ini melalui pimpinan Pemuda mereka iaitu Fahmi Zainol, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mereka berkata kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu ternyata mengejutkan dan perlu diperjelaskan oleh Annuar yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
“Bagaimana pengerusi Mara iaitu Annuar tergamak bertindak sedemikian? Sedangkan dalam masa yang sama, masa depan pelajar Melayu tergadai dek perbuatan beliau.

“Pemuda PKR yakin prestasi buruk pihak Mara mempunyai hubung kait dengan tindakan Annuar menaja pasukan bola sepak Kelantan dengan menggunakan duit Mara,” kata Fahmi yang juga pengerusi Biro Mahasiswa Pemuda PKR.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata Annuar sebagai ahli politik yang bertanggungjawab kepada rakyat tidak boleh berdiam diri.

“Jumlah RM700,000 bukan sedikit. Adalah difahami kesukaran pasukan Kelantan bergelut mencari sumber kewangan bagi meneruskan saingan untuk musim 2017, ia tetap tidak menjadi jalan pintas untuk mana-mana agensi ‘dirompak’ sedemikian rupa.

“Beliau wajib beri justifikasi setiap tajaan yang dibuat dan sejauh mana kesemua tajaan tersebut benar-benar membantu Bumiputera. Jika gagal, Annuar Musa bertanggungjawab untuk mengembalikan semula RM700,000 itu ke kantung asalnya,” katanya.

TMJ hari ini berkata, sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan dibuat, Annuar tergamak menggunakan “duit rakyat” untuk pasukan Kelantan.
“Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri (Annuar) tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan MARA dan UniKL yang dipaksa menaja pasukan The Red Warriors (TRW)?

“Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan TRW yang mana Tan Sri sendiri merupakan pengerusi MARA.
“Tidak cukup dengan pelaburan MARA yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa.

“UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Sementara itu, satu laporan polis berkenaan dakwaan salahguna kuasa dan penggunaan dana Mara dan UniKL dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Shah Alam.

No comments:

Post a Comment