Tuesday, January 3, 2017

40 laporan umrah tipu di Terengganu babit RM14.2 juta

 | January 2, 2017
Polis berkata ramai mangsa tampil membuat laporan selepas tersebarnya berita 2 suspek terlibat dengan kes tersebut ditahan minggu lepas.
mohd-zamri-mohd-rowi_polis_haji_60012
BESUT: Lebih ramai mangsa penipuan pakej umrah yang diuruskan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) dijangka tampil membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata setakat kelmarin pihaknya menerima 40 laporan berhubung kes penipuan itu yang melibatkan 4,000 mangsa dengan nilai wang kutipan sebanyak RM14.2 juta sejak 21 November lepas.

Zamri berkata ramai mangsa tampil membuat laporan selepas tersebarnya berita 2 suspek terlibat dengan kes tersebut ditahan minggu lepas.
“Bilangan mangsa yang membuat laporan dijangka meningkat berdasarkan senario semasa dengan 5 laporan diterima kelmarin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Minggu lalu, polis mendapatkan perintah tahanan reman 4 hari ke atas 2 lelaki termasuk seorang pengarah bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah anjuran YBNT membabitkan kira-kira 4,000 mangsa dengan nilai jutaan ringgit.
Suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Zamri berkata 2 suspek utama dalam kes tersebut ada membuat 3 laporan polis kerana mendakwa menerima ugutan.
“Polis percaya ugutan tersebut dilakukan mangsa yang berang kerana merasakan tertipu dan inginkan wang mereka dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 506/427 kanun sama kerana ugutan dan khianat,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment