Penganalisis melihat kesan kepada karier politik
ketua menteri Sarawak baharu jika bersetuju dengan cadangan pindaan
undang-undang syariah dibawa PAS.
PETALING JAYA: Ia akan menjadi tindakan “bunuh diri” bagi karier
politik ketua menteri Sarawak yang baharu jika menyokong pindaan syariah
kontroversi sekarang di Parlimen.
Ia adalah gambaran diberi penganalisis politik Universiti Malaysia
Sarawak Jeniri Amir susulan kenyataan PAS Sarawak yang Datuk Abang
Johari Openg boleh membalikkan pendirian bekas bosnya.
Bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini
mengarahkan semua ahli Parlimen BN negeri mengundi menentang pindaan
syariah.
PAS Sarawak memberitahu FMT semalam, Abang Johari mungkin tidak
mengikat mana-mana ahli Parlimen BN Sarawak untuk mengundi menentang
cadangan pindaan akta syariah.
Hujah mereka, ketua menteri baru “lebih prihatin” terhadap isu Islam.
“Untuk membuat pusingan U daripada pendirian Adenan adalah ‘political
suicide’,” Jeniri memberitahu FMT hari ini, ketika dihubungi.
Beliau menambah ia tidak mungkin pula berlaku pusingan U kerana Abang Johari memahami sepenuhnya sentimen rakyat.
“Saya yakin beliau akan mematuhi apa sahaja keputusan yang dibuat
Adenan kerana mereka berada dalam politik selama lebih 39 tahun.
“Abang Johari juga teman rapat Adenan dan memahami aspirasi beliau.”
Jeniri berkata adalah penting untuk Abang Johari membuktikan dirinya
pada minggu awal pelantikannya, sambil menambah “rakyat juga akan
menilai Abang Johari pada tahap mana beliau meneruskan legasi dan tugas
Adenan yang belum selesai”.
“Beliau perlu dilihat sebagai seorang pemimpin yang tegas. Seseorang
yang melakukan perkara selaras dengan aspirasi rakyat Sarawak. ”
PAS memohon meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
atau RUU 355, bagi membolehkan hukuman lebih keras kepada pesalah
syariah, satu langkah yang dilihat sebagai jalan membawa hudud ke
Kelantan.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya Azman Awang
Pawi berkata rakyat Sarawak mungkin dapat menerima pindaan syariah yang
dicadangkan jika terdapat penjelasan mencukupi mengenainya.
Azman berkata pindaan syariah dicadangkan kerana undang-undang Islam tidak dikemaskini dan dinaik taraf untuk masa yang lama.
Ini adalah keterangan sama yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, katanya.
“Bagaimanapun, ini adalah ujian bagi Abang Johari. Sarawak mungkin dapat menerima penjelasan pindaan syariah bukan hudud.
“Tetapi, jika rakyat Sarawak masih tidak memahami pindaan
dicadangkan, ia boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN Sarawak.”
Pada masa ini, hukuman syariah dihadkan kepada hukuman penjara 3 tahun dan denda RM5,000 serta 6 sebatan.
Cadangan pindaan PAS akan menyaksikan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda sehingga RM100,000 dan 100 sebatan.
No comments:
Post a Comment