Ia pertambahan sebanyak 20% daripada kuota sebelum ini yang dipotong sejak 2013 kerana projek pembesaran Masjidil Haram.
TUMPAT:
Kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800
orang tahun ini berbanding 22,320 orang sebelum ini, kata Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan
selepas menarik balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20% yang
dikuatkuasakan pada 2013 terhadap jemaah asing.
“Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
sumbangan kepada 45 surau dan tujuh masjid di Parlimen Tumpat yang
terlibat banjir di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut adalah pemberian Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan dan Yayasan Takwa. Setiap surau memperoleh RM500 manakala
masjid mendapat RM2,000.
Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah
tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang.
Beliau berkata kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada
kerajaan Arab Saudi atas kejayaan menyiapkan projek pembesaran Masjidil
Haram yang membolehkan lebih ramai jemaah mengerjakan ibadah haji
bermula tahun ini.
Ditanya mengenai pemberian subsidi kepada jemaah haji tahun ini, beliau berkata pemberian subsidi tersebut akan diteruskan.
Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya sedang mengenal pasti
surau dan masjid di Parlimen lain di Kelantan yang terlibat dengan
banjir untuk diberi bantuan.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat membantu pengurusan surau dan
masjid memperbaiki sebarang kerosakan yang terlibat seperti alat siar
raya, permaidani dan bahan bacaan.
FMT
No comments:
Post a Comment