Wednesday, January 18, 2017

Bank Negara jamin kad PayWave selamat, data tak boleh dicuri

 | January 18, 2017
BNM menafikan berjuta-juta pengguna kad ATM dan kad kredit PayWave terdedah kepada penyeluk saku elektronik.
bnm-paywave
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan kad ATM dan kad kredit yang dilengkapi ciri keselamatan baharu di bawah sistem PayWave tidak boleh diklonkan atau digunakan untuk transaksi tidak disahkan pemegang kad sendiri.

Sehubungan itu, BNM menafikan berjuta-juta pengguna kad ATM dan kad kredit PayWave mudah terdedah kepada penyeluk saku elektronik.
BNM dalam satu kenyataan berkata, kad tanpa sentuh itu dilengkapi ciri keselamatan termasuk cip yang mengandungi kod dinamik bagi setiap transaksi dan pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan transaksi (TAC) untuk urus niaga kad dalam talian dan maklumat penting dalam kad tidak boleh dicuri secara elektronik.

BNM turut menasihatkan pemegang kad menghubungi bank dengan segera, jika kad mereka hilang atau dicuri atau nombor pengenalan peribadi (PIN) mereka terjejas atau berlaku transaksi tidak dibenarkan menggunakan kad mereka.
Oktober lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah memberi jaminan kad tanpa sentuh yang dilengkapi ciri keselamatan terkini adalah instrumen pembayaran sangat selamat dan hampir mustahil dipalsukan.

Bagaimanapun, pada 7 Disember lalu, FMT memetik Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), A Karuna sebagai berkata, kad ATM, debit dan kredit baharu itu mungkin lebih mudah terdedah kepada kecurian data kerana pencuri boleh menggunakan alat khas yang dapat memantulkan secara magnetik maklumat kad mereka.

“Dengan menggerakkan alat di hadapan kad pengguna, maklumat pengguna boleh dicuri. Jadi bukankah ini bermaksud orang lain boleh menggunakan alat yang sama untuk mencuri maklumat?” katanya merujuk sebuah video YouTube yang menunjukkan bagaimana maklumat dicuri daripada kad PayWave.

Bukan itu sahaja, pakar keselamatan teknologi maklumat, Mohd Nizam Mohd Salleh yang dipetik Harian Metro semalam turut mendakwa cip baharu kad debit yang diperkenalkan awal tahun ini lebih berisiko terdedah kepada kecurian data.
Katanya, penjenayah boleh mengesan gelombang radio transaksi itu dalam jarak kurang 1m melalui aplikasi dimuat turun ke telefon pintar dan selepas data diperolehi, mereka boleh melakukan transaksi dengan mengimbas telefon pintar di mesin payWave.

No comments:

Post a Comment