Monday, January 16, 2017

DAP janji tiada tol, GST jika Pakatan tawan Putrajaya

FMT | January 16, 2017
Dengan PRU14 dijangka diadakan tahun ini, DAP memperbaharui janjinya untuk menghapuskan GST dan kutipan tol jika Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
guan-eng3GEORGE TOWN: Pembangkang akan menghapuskan GST dan kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan jambatan Pulau Pinang pertama jika ia berjaya mengambil alih Putrajaya, kata Lim Guan Eng semalam.

Setiausaha agung DAP itu berkata jika diberi peluang untuk mengawal kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan akan melaksanakan kedua-dua langkah itu bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.
Guan Eng berkata GST 6% menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi kepada rakyat, bukannya “menyelamatkan Malaysia” seperti didakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat juga tidak perlu terus menerus membayar tol kepada PLUS, yang dibina dengan kos RM5.9 bilion, memandangkan pemegang konsesi sudah pun mengutip tol bernilai RM37.4 bilion sepanjang tempoh 3 dekad lalu.
“Jika kita mahu turunkan harga, Barisan Nasional (BN) perlu turun ke bawah,” katanya.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,200 orang di majlis makan malam DAP bahagian Balik Pulau bagi meraikan ulang tahun ke-50 parti malam tadi, Guan Eng sekali lagi menyalahkan 1MDB sebagai punca masalah ekonomi negara dan jatuhnya nilai ringgit.

Mendesak supaya semua yang bertanggungjawab terhadap kontroversi itu ditahan dan disiasat, Guan Eng berkata rasuah ialah salah satu punca mengapa kerajaan kekurangan dana.

“Ekonomi sekarang mencabar dan lebih teruk kerana kerajaan persekutuan kekurangan wang.
“Dana untuk pendidikan dan hospital dipotong. Malah, kerajaan tidak beri pun RM50 yang dijanjikan kepada sekolah Cina dalam Bajet 2016.
“Anda tahu betapa kecilnya RM50 juta kepada kerajaan persekutuan? Ia hanya 0.02% daripada bajet itu.

Kerajaan Pulau Pinang pun boleh pinjamkan mereka jumlah itu,” katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Banteras rasuah
Guan Eng berkata rasuah perlu ditangani, dan itu sebabnya DAP bekerjasama dengan parti pembangkang lain, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Orang tanya saya bagaimana saya boleh bekerja dengan Tun M sedangkan dia pernah penjarakan bapa saya 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia penjarakan saya juga.

“Tetapi Dr Mahathir kata meskipun dia lakukan perkara yang orang tidak setuju sebelum ini, dia tidak ada RM2.6 bilion dalam akaun peribadi,” katanya.
Wang itu dikatakan derma daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi, dengan sejumlah besar bakinya yang tidak digunakan sudah dipulangkan semula. Peguam negara kemudian membersihkan Najib daripada sebarang salah laku, tetapi pembangkang tetap tidak yakin.
DAP national and grassroot leaders and their allies from other Pakatan Harapan parties call for unity to change the government this coming general election
Perubahan masih boleh berlaku
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata meskipun ada penganalisis dan pakar ekonomi berpendapat BN akan kekal di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang dijangka penghujung tahun ini, masih boleh untuk kerajaan bertukar.

“Mengubah kerajaan tidak mudah, tetapi ia bukan misi yang mustahil,” kata Kit Siang, mendesak rakyat bersatu demi perubahan.

Naib Presiden DAP dan Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata masih ada harapan jika DAP bekerjasama dengan parti lain untuk mengukuhkan pembangkang.
“Kita bekerjasama dengan yang lain-lain sejak 1980-an, sehingga kita menubuhkan Pakatan Harapan dengan PKR dan Amanah hari ini. Kini kita juga bekerja dengan PPBM,” katanya.

Chow berkata pembangkang juga mengintai 3 kerusi Parlimen di Pulau Pinang yang masih dipegang BN iaitu di Balik Pulau, Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
“Bagi menawan Putrajaya, setiap kerusi penting. Kita tahu Umno dan BN masih kuat dan mereka akan buat apa saja untuk mengekalkan kuasa.

“Kita mesti mengekalkan semua kerusi dimenangi dan ambil kerusi yang kita kalah pada PRU lepas,” katanya, menjanjikan sokongan DAP kepada sekutunya yang akan bertanding menentang BN pada PRU14.
Chow berkata Pulau Pinang ialah contoh terbaik bagaimana kerajaan Pakatan akan memegang tampuk pemerintahan dengan lebih baik berbanding penyandangnya.

Pada PRU13, Pakatan menang 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. Pakatan menang 30 daripada 40 kerusi DUN di negeri itu untuk kekal memegang kerajaan negeri, sementara baki 10 kerusi milik Umno.

No comments:

Post a Comment