Tuesday, January 17, 2017

DAP setuju BR1M diteruskan, bukan GST

DAP setuju BR1M diteruskan, bukan GST
Guan Eng (tengah) ketika meninjau projek kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sustem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Lorong Perak semalam.
 
GEORGETOWN - Bayangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan menghapuskan GST sekiranya gabungan pembangkang memenangi PRU14 akan datang disokong DAP.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, perkara itu juga merupakan pendirian DAP dan menganggap GST sebagai punca kemusnahan ekonomi negara selama ini.
Menurutnya, kerajaan tidak perlu melaksanakan GST untuk memberikan BR1M kepada rakyat sebaliknya hanya perlu menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan tidak mengamalkan rasuah.

"Dakwaan BN yang mengatakan GST perlu supaya mereka mampu membayar BR1M adalah tidak masuk akal dan tak logik kerana di Pulau Pinang walaupun kita tidak mengenakan GST namun kerajaan negeri mampu untuk membayar wang penghargaan kepada anak emas, warga emas dan anak sekolah.

"Disebabkan skandal rasuah yang menyebabkan kerajaan pusat terdesak sehingga terpaksa susahkan rakyat dengan GST," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penyempurnaan projek kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sustem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Lorong Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, BR1M boleh diteruskan untuk disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Bagaimanapun kaedah perlaksanaannya perlu dikaji semula agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan termasuk pemberian kepada mereka yang tidak layak dan berkemampuan.
"Pulau Pinang telah buktikan tanpa GST kita mampu memberikan bantuan kepada rakyat.

"Berilah peluang kepada kami (Pakatan Harapan) untuk buktikan bahawa apa yang kami laksanakan di Pulau Pinang mampu dilakukan di seluruh negara," katanya.

No comments:

Post a Comment