Saturday, January 28, 2017

DAP tiada peluang, Pas tutup pintu rundingan

Sinar Harian
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
MARANG - Pas menutup pintu rundingan dengan DAP terutama membabitkan perbincangan untuk bekerjasama dalam membentuk pakatan pembangkang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tidak berganjak dengan prinsip perjuangan parti itu iaitu berjuang dalam menegakkan sebuah negara sejahtera dan selamat berasaskan perlaksanaan syariat Islam.

“Pas tidak akan terima (DAP) kerana dia tidak menunjukkan bukti menerima (Pas)…masing-masing menentang negara Islam. Rang Undang-undang 355 pun dia tidak setuju, benda yang berkait dengan prinsip,” katanya di Rusila di sini, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan DAP juga tidak menunjukkan warna sebenar kepada umat Islam di Pulau Pinang dan mendakwa DAP gagal menunjukkan sikap dan pendiriannya dalam menjaga kepentingan rakyat negeri itu.

Menurutnya, agenda Pas dan DAP juga berbeza kerana penubuhan parti Pas bukan semata-mata hanya mahu menang dalam pilihan raya tetapi juga ingin membawa perubahan kepada rakyat selaras dengan prinsip parti berkenaan.
“Pas tidak akan terima (DAP)… dia (DAP) tidak menunjukkan tanda yang positif, hanya kerana hendak menang pilihan raya. Kita bukan (sahaja) hendak menang pilihan raya tetapi kita (juga) mahu buat perubahan.

“Memang dia ada agenda dia, kita ada agenda kita… Kalau agenda itu (sudah) bercanggah macam mana,” katanya.
Ketika diminta mengulas saranan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pembangkang perlu bersama sebagai satu pakatan, beliau berkata, kenyataan dan pendirian Tun Dr Mahatdir tidak konsisten.
“Tun M ini berapa kali dia keluar masuk Umno…keluar balik (Umno), masuk balik Umno,” katanya.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk mengadakan perbincangan dengan pakatan pembangkang khususnya dengan Bersatu.
“Perbincangan boleh buat perbincangan… Tapi Pas ada dasar dia… Negara demokrasi kita kena bincang. Orang datang  tak akan kita nak tolak… Kita dengarlah,” katanya.

No comments:

Post a Comment