Sinar Harian
28 Januari 2017
MARANG - Pas menutup pintu rundingan dengan DAP terutama membabitkan
perbincangan untuk bekerjasama dalam membentuk pakatan pembangkang
baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tidak berganjak dengan
prinsip perjuangan parti itu iaitu berjuang dalam menegakkan sebuah
negara sejahtera dan selamat berasaskan perlaksanaan syariat Islam.
“Pas tidak akan terima (DAP) kerana dia tidak menunjukkan bukti
menerima (Pas)…masing-masing menentang negara Islam. Rang Undang-undang
355 pun dia tidak setuju, benda yang berkait dengan prinsip,” katanya di
Rusila di sini, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan DAP juga tidak menunjukkan
warna sebenar kepada umat Islam di Pulau Pinang dan mendakwa DAP gagal
menunjukkan sikap dan pendiriannya dalam menjaga kepentingan rakyat
negeri itu.
Menurutnya, agenda Pas dan DAP juga berbeza kerana penubuhan parti Pas
bukan semata-mata hanya mahu menang dalam pilihan raya tetapi juga ingin
membawa perubahan kepada rakyat selaras dengan prinsip parti berkenaan.
“Pas tidak akan terima (DAP)… dia (DAP) tidak menunjukkan tanda yang
positif, hanya kerana hendak menang pilihan raya. Kita bukan (sahaja)
hendak menang pilihan raya tetapi kita (juga) mahu buat perubahan.
“Memang dia ada agenda dia, kita ada agenda kita… Kalau agenda itu (sudah) bercanggah macam mana,” katanya.
Ketika diminta mengulas saranan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir
Mohamad agar pembangkang perlu bersama sebagai satu pakatan, beliau
berkata, kenyataan dan pendirian Tun Dr Mahatdir tidak konsisten.
“Tun M ini berapa kali dia keluar masuk Umno…keluar balik (Umno), masuk balik Umno,” katanya.
Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau tidak mempunyai sebarang halangan
untuk mengadakan perbincangan dengan pakatan pembangkang khususnya
dengan Bersatu.
“Perbincangan boleh buat perbincangan… Tapi Pas ada dasar dia… Negara
demokrasi kita kena bincang. Orang datang tak akan kita nak tolak… Kita
dengarlah,” katanya.
No comments:
Post a Comment