Sunday, January 22, 2017

Dr M: Bila kami menang, kaji semula kereta api laju ke Singapura

 | January 22, 2017
Tetapi jika projek mega itu boleh dilaksanakan, boleh juga diperluaskan ke Pulau Pinang, tambah beliau.
mahathir-1
PETALING JAYA: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur–Singapura (HSR) akan dikaji semula sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara bersama Sunday Times Singapura, bekas perdana menteri itu berkata kerajaan baharu itu perlu mengkaji kebolehlaksanaan projek HSR serta keperluannya kepada negara.
“Kita perlu lakukan kajian untuk melihat kebolehlaksanaan projek kerana kita tidak ada wang dan kita perlu meminjam dan itu bukan sesuatu yang boleh kerajaan tanggung ketika ini,” kata Dr Mahathir.

Bulan lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian HSR. Kedua negara secara bersama akan menganugerahkan tender Rakan Pembangunan Bersama bagi projek yang dijangka menelan kos RM50 bilion.

Dr Mahathir sebenarnya tidak menolak projek 350km itu. Sekiranya projek itu terbukti boleh dilaksanakan, HSR boleh juga diperluaskan ke Pulau Pinang atau sempadan Thailand.

“Semua perkara ini perlu dikaji secara teliti dan mengenalpasti pulangan pelaburan. Kita terima yang kita akan kerugian wang pada peringkat awal tetapi berapa lama dan berapa banyak dalam jangka masa itu,” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Beliau merujuk kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dibina di bawah pentadbiran beliau: “Kita bina LRT dan pada awalnya kita kerugian banyak wang tetapi kini pengguna terlalu sesak kita perlu tambah kereta api.”

Dalam wawancara itu, Tun Mahathir berkata Singapura tidak perlu bimbang sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tewas, walaupun Najib mempunyai hubungan yang rapat dengan republik itu..

Beliau berkata Malaysia dan Singapura sentiasa temui jalan untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit secara aman. Beliau bagaimanapun memberi amaran pihak yang boleh merosakkan hubungan antara kedua negara ialah China, yang mempunyai hubungan tegang dengan Singapura.

Beliau berhujah perkara itu mungkin memaksa Najib menjauhi Singapura. “Sekiranya kita mempunyai banyak pelaburan China di Malaysia, mereka akan mahu menjaga pelaburan itu dan mempengaruhi kerajaan Malaysia supaya membantu mereka dalam apa sahaja cara yang boleh.”
“Mereka akan mahu kita tidak menyebelahi Singapura dalam sebarang pertelingkahan dengan China,” katanya.

Beliau menambah Najib “bermesra” dengan Singapura kerana beliau berada pada kedudukan politik yang lemah dan memerlukan projek seperti HSR untuk mengangkat kedudukannya di Malaysia.

Mutakhir ini, Mahathir menjadi pengkritik utama penjualan tanah wilayah Iskandar, Johor kepada pemaju China dan sifat pembangunan China dalam negara.

No comments:

Post a Comment