Tuesday, January 10, 2017

Hanya ‘kaki bodek’ halalkan wang dicuri kerajaan, kata Dr Mahathir

 FMT | January 9, 2017
Bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan adakah duit haram boleh dihalalkan oleh individu bergelar mufti.
mahathir-haji
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hanya golongan membodek sahaja akan menghalalkan wang yang dicuri oleh kerajaan.

“Kalau menyatakan wang dicuri tidak boleh biayai ibadat haji adalah percubaan menjadi Tuhan, kenyataan itu menunjuk kekerdilan akal fikiran.
“Pangkat tidak boleh membetulkan pendapat yang salah. Pencuri berpangkat masih pencuri,” katanya menerusi posting terbarunya di blog Chedet.cc, hari ini.

Beliau berkata demikian menegaskan pendirian berhubung kenyataannya yang menyifatkan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri dan Yayasan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.

Sebelum ini, Dr Mahathir turut menolak pandangan pelba­gai pihak termasuk Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr Abdul Rahman Osman serta mufti lain yang tidak bersetuju dengan pandangan disuarakannya ketika berce­ramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah bulan lalu.
Pada masa sama, Dr Mahathir turut mempersoalkan adakah duit haram itu boleh dihalalkan individu bergelar mufti.

Tegasnya, duit haram tetap menjadi haram dan tidak boleh dihalalkan dengan menggunanya untuk melakukan ibadat.
“Kalau kita curi duit untuk membuat kerja haji, sesuatu ibadat yang kita wajib buat hanya jika kita mampu, atau untuk buat sunat umrah, apakah perlakuan kita itu ibadat atau tidak.

“Atau apakah ibadat kita boleh diterima jika kita terima duit yang dicuri orang lain? Tidakkah dakwaan kita mendorong pencurian kerana yang dicuri boleh dihalalkan dengan mengguna sebahagian atau semuanya untuk ibadat, termasuk ibadat haji,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata terpulang kepada mereka untuk menerima duit berkenaan untuk menunaikan haji.
“Kalau nak terima duit curi untuk buat kerja haji, terimalah. Saya tak akan terima walau apa pun tohmah dilempar kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman enggan mengulas lanjut mengenai persoalan dibangkitkan Dr Mahathir sama ada wang haram boleh dihalalkan oleh mufti.
“Terpulang kepada beliau (Dr Mahathir) untuk menyatakan pandangannya. Saya menyatakan pandangan saya melalui pengetahuan yang saya ada. Pertanyaan Dr Mahathir itu saya enggan jawab.

“Saya tidak ada maksud nak melawan apa yang beliau cakap kerana itu bukan caranya. Biarlah beliau nak cakap apa pun,” katanya ringkas kepada FMT.

No comments:

Post a Comment