Friday, January 6, 2017

'Harap dapat jumpa MB sebelum tutup mata'

Sinar Harian
'Harap dapat jumpa MB sebelum tutup mata'
Impian pesakit leukimia bertemu MB tercapai. - Foto Sinar Harian
PAKA - Hasrat seorang pemuda menghidap leukimia tahap empat untuk bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akhirnya tercapai apabila dia dibawa bertemu idolanya di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Sivik Paka, di sini, hari ini.

Walaupun bukan mangsa banjir tetapi kunjungan Ahmad Razif untuk melawat keadaan mangsa banjir turut memberi peluang kepada Muhamad Ramadhan Alias, 20,  yang tinggal di perumahan Beril, Paka untuk bersembang dan memeluk pemimpin dihormati itu.
Muhammad Ramadhan berkata, jika mengikut doktor yang merawatnya, dia hanya mempunyai tempoh lima bulan sahaja untuk hidup.

Menurutnya, sebelum menutup mata dia memang teringin untuk bertemu Ahmad Razif kerana kagum dengan sikap pemimpin yang mesra rakyat.
"Saya bagaikan tidak percaya akan bertemu MB pada hari ini dan rasa seperti mimpi.
"Memang sudah lama saya menyimpan hasrat bertemu dengannya dan saya memang berharap sebelum menutup mata dapat bertemu dengan beliau.

"Dia memang menjadi idola kerana sikapnya yang begitu mesra dengan rakyat dan akhirnya saya dapan bertemu mata dengannya," katanya.
Kata anak bongsu dari lima beradik itu, dia disahkan menghidap leukimia tahap tiga ketika Jun 2016 selepas ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ditumbuhi bisul di bahagian punggung.

"Pada awalnya ada bisul tidak bermata yang tumbuh di bahagian punggung saya.
"Apabila diambil sampel darah baharulah tahu yang saya sebenarnya menghidap leukimia.
"Selepas itu saya mula mendapatkan rawatan dan membuat tujuh kali rawatan kemoterapi dan sudah menjalani pembedahan mengambil air tulang belakang sebanyak tujuh kali.

"Sekarang sudah tiada rawatan untuk penyakit saya dan doktor menyuruh saya menunggu sahaja saat-saat kematian tiba," katanya.

No comments:

Post a Comment