Tuesday, January 24, 2017

Johor, Perak dan Selangor dilanda banjir

 | January 24, 2017
Seramai 1,457 mangsa berlindung di 19 pusat pemindahan di Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Tangkak dan Segamat yang dibuka sejak semalam.
ayub-rahmat_banjirl_600
MUAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Johor meningkat kepada 1,457 orang melibatkan 320 keluarga berbanding 177 orang daripada 36 keluarga semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Johor (JPBN), Datuk Ayub Rahmat, sebanyak 19 pusat pemindahan dibuka di 5 daerah, iaitu Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Tangkak dan Segamat mulai semalam.

“Daerah Kota Tinggi mencatat jumlah pemindahan tertinggi, iaitu seramai 838 mangsa melibatkan 164 keluarga yang ditempatkan di 3 PPS, iaitu Surau Kampung Baru Sungai Emas (13 orang), Balai Raya Kampung Tersusun Delima (20) dan Dewan Serbaguna Kota Kechil (805 orang),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejumlah 459 mangsa banjir melibatkan 118 keluarga dipindahkan ke 9 PPS bagi daerah Segamat, iaitu 206 orang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun, Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal (25), Dewan Kampung Chinchin (13), Balai Raya Kampung Melayu Raya (13), Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kechil (empat), Balai Raya Kampung Paya Lebar (15), Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang (107), Sekolah Agama Ismail Ariffin (69) dan SK Batu Anam (7).

Manakala 83 orang membabitkan 26 keluarga dipindahkan ke 2 PPS di Johor Bahru, iaitu 82 orang di Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru Masai dan seorang di SK Nam Heng.

Di daerah Kluang pula, 34 orang daripada 8 keluarga dipindahkan ke 2 PPS, iaitu 8 orang di Dewan Kampung Parit Hasan dan 26 di Dewan Kampung Dewan Air.
Sementara itu, sebanyak 3 PPS dibuka di daerah Tangkak melibatkan 43 orang daripada 9 keluarga.
Empat mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Melepang, 8 orang di SK Sialang dan 31 orang di SK Serom 8.

Di Perak pula, seramai 334 orang daripada 109 keluarga kini ditempatkan di 7 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu setakat 8 pagi tadi, berikutan hujan tanpa henti sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, daerah Manjung mencatat jumlah penduduk paling ramai dipindahkan, iaitu 197 orang dengan masing-masing 72 orang berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, manakala 125 lagi ditempatkan di Dewan Orang Ramai Inderawati, Beruas.
Sementara itu, 90 orang ditempatkan di 3 pusat pemindahan yang dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama, iaitu di Surau Kampung Jawa, Trong (43); Dewan Kampung Matang Merbau, Trong (31) dan SK Batu Hampar (16).

“Di Hilir Perak, seramai 27 orang ditempatkan di SK Pengkalan Ara, manakala di daerah Hulu Kinta, 20 orang kini berada di Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Batu Gajah,” menurut kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, kebanyakan daerah di Perak dilaporkan hujan pada pagi ini.

Di Selangor, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan 152 orang daripada 45 keluarga terpaksa berpindah ke 2 pusat pemindahan di Sabak Bernam, setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata, 78 mangsa terdiri daripada penduduk di sekitar kawasan Pekan Sungai Besar dan 74 mangsa merupakan penduduk di sekitar kawasan Pekan Parit Baru.
Semua keluarga terjejas ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sri Bernam dan Dewan Parit Baru.

“Penduduk mula dipindahkan ke pusat pemindahan sejak 7.30 malam tadi berikutan hujan lebat bermula 3.30 petang semalam dan hanya reda kira-kira 5 pagi tadi.
“Hujan lebat menyebabkan paras air naik setinggi paras lutut,” katanya ketika dihubungi.
FMT 

No comments:

Post a Comment