Friday, January 20, 2017

Kata-kata saya diputar belit, Dr M beritahu Kit Siang

Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh media tertentu memutar-belitkan kata-kata beliau mengenai DAP kononnya meminta jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan perkara itu dalam pertemuan bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pagi ini, menurut Ahli Parlimen DAP Liew Chin Tong yang turut hadir dalam perjumpaan itu.
"Kit Siang dan Mahathir bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan ekonomi, pelaburan langsung asing, memperkasakan politik Sabah dan Sarawak selain penjelasan dalam penjajaran politik.

"Mengenai persoalan mengenai jawatan timbalan perdana menteri, Mahathir menjelaskan bahawa media tertentu telah memutar belitkan kata-katanya. Beliau hanya berkata pernah mendengar cadangan sedemikian," tambahnya.

Sementara itu, Liew berkata, Kit Siang memaklumkan kepada bekas perdana menteri itu bahawa DAP tidak meminta jawatan tersebut.
Ahli Parlimen Kluang itu berkata, MCA adalah parti yang mahu jawatan timbalan perdana menteri kedua pada April 2009 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawat kerusi berkenaan.

"DAP adalah sebuah parti yang ideal dan idea, bukan pihak yang mengejar jawatan demi kuasa. Perjuangan politik DAP untuk selamatkan Malaysia dan membangunkan institusi demokrasi Malaysia yang lebih baik," tambahnya.

No comments:

Post a Comment