Sri Ram berkata, Khalid sekadar melakukan kesalahan
agama dan Mahkamah Rendah Syariah Klang bukan mahkamah yang diiktiraf di
bawah Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA: Khalid Abdul Samad yang didenda atas kesalahan
mengajar agama Islam tanpa tauliah, boleh terus menjadi ahli Parlimen
Shah Alam kerana beliau sekadar melakukan kesalahan agama, kata seorang
bekas hakim Mahkamah Persekutuan.
Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, kesalahan dilakukan Khalid itu
bukan kesalahan jenayah seperti diluluskan Parlimen dan dijatuhkan hukum
melalui mahkamah yang diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Parlimen mempunyai kuasa untuk mewujudkan kesalahan dan
menentukan hukuman mengikut Jadual Kesembilan, Senarai 1 Perlembagaan
Persekutuan.
“Mahkamah itu (Mahkamah Rendah Syariah Klang) bukan sebuah mahkamah
yang ditubuhkan di bawah Perkara 121 Perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Mahkamah 3 peringkat yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan
adalah Mahkamah Tinggi (Malaya, Sabah dan Sarawak), Mahkamah Rayuan dan
Mahkamah Persekutuan.
“Pandangan saya ialah sabitan Khalid tidak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ahli Parlimen,” katanya.
Di bawah Senarai 11 Perlembagaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh
meluluskan undang-undang dan menetapkan hukuman terhadap umat Islam yang
menentang “ajaran Islam”.
Sri Ram berkata demikian sebagai mengulas sabitan Khalid oleh Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini.
Khalid didenda RM2,900 atau 3 bulan penjara. Dia kemudiannya membayar
denda itu, tetapi menegaskan akan memfailkan rayuan berhubung sabitan
dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi Syariah, esok.
Pengarah komunikasi Amanah itu didakwa di bawah Seksyen 119 (1)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) kerana berucap di sebuah
surau di Taman Seri Sementa, Kapar, antara 10 malam hingga 11.50 malam
pada 16 Ogos 2011.
Khalid berkata, beliau dijemput ke surau itu untuk menceritakan
pengalamannya ketika mengunjungi Palestin dan bukannya menyampaikan
ceramah agama.
Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, beliau sekadar menjalankan
tanggungjawab untuk menceritakan pengalamannya di Gaza seperti dipesan
Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.
Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen
akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika beliau sabit kesalahan dan
dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Sri Ram berkata, sabitan oleh mahkamah seperti yang dinyatakan dalam
Perkara 48, perlu merujuk kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah
Perkara 121 Perlembagaan.
“Oleh itu, Perkara 48 perlu dibaca bersama Perkara 121 Perlembagaan.”
No comments:
Post a Comment