Friday, January 20, 2017

Macam bunuh diri kalau beli rumah sekarang

 | January 20, 2017
Perunding hartanah veteran berkata lebih wajar menyewa rumah berbanding membelinya pada masa ini kerana keadaan ekonomi global dan tempatan yang tidak menentu.
Ernest-Cheong_buy_house_600
PETALING JAYA: Perunding hartanah veteran berkata membeli rumah pada masa ini umpama tindakan “bunuh diri” dan lebih baik menunggu sehingga harga hartanah jatuh.

Perunding hartanah dan juruukur bertauliah berpengalaman selama 40 tahun, Ernest Cheong berkata pasaran hartanah tidak wujud secara berasingan dan orang ramai perlu memberi perhatian kepada situasi ekonomi global dan tempatan.

Beliau berkata ramai percaya yang membeli hartanah perlu menjadi keutamaan dalam sesebuah keluarga kerana ia memberi perlindungan kepada orang tersayang, tetapi ia salah kerana keluarga masih boleh menyewa rumah.
“Lebih teruk lagi, apabila ada golongan yang kononnya guru hartanah menggalakkan keluarga membeli rumah yang mereka mungkin tidak mampu membayarnya dalam tempoh panjang dengan mendakwa ia sejenis pelaburan kerana harga hartanah akan naik.

“Apa akan berlaku bila anda tidak mampu membayar ansuran dan ia tidak boleh dijual, atau jika nilai sewaan tidak dapat menampung bayaran bulanan? Anda akan tersekat,” katanya kepada FMT.

Cheong berkata demikian ketika mengulas kaji selidik dijalankan by PropertyGuru.com.my baru-baru ini yang mendakwa kira-kira 58% pembeli Malaysia akan membeli rumah dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
Sedangkan, sektor hartanah dilaporkan agak lembap pada masa ini.
Katanya, membeli hartanah ialah komitmen besar dan itu sebabnya apabila ekonomi perlahan dan kos sara hidup meningkat, lebih wajar untuk menyewa rumah.

“Bila menyewa, anda ada fleksibiliti untuk terus hidup.
“Katakan anda sewa rumah RM2,000 dan kehilangan kerja atau isteri hilang kerja, anda masih boleh menyewa di tempat yang lebih murah.
“Tetapi anda tidak boleh berbuat demikian jika ansuran bayaran bulanan rumah anda kepada bank ialah RM2,000 sebulan.

“Betul, anda boleh sewakan rumah yang anda beli dan kemudian menyewa di tempat lebih murah, tetapi soalannya ialah dapatkah anda cari penyewa yang mahu membayar RM2,000 atau boleh atau tidak anda sewakan ia pada kadar itu sedangkan terdapat banyak rumah lain untuk disewa,” katanya.
Cheong mencadangkan bakal pembeli hanya membeli rumah jika mereka rasa cukup selesa dengan bayaran bulanan itu bagi sepanjang tempoh pembiayaan, atau jika harga rumah jatuh.

“Bayaran balik bulanan rumah tidak sepatutnya melebihi 25% pendapatan isi rumah sesebuah keluarga.
“Lebihan 75% sepatutnya disimpan untuk kegunaan perbelanjaan kehidupan dan jika boleh, sebagai simpanan.

“Orang ramai mesti ingat tempoh bayaran balik pinjaman rumah biasanya 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun itu, kos sara hidup boleh meningkat tetapi gaji mereka mungkin bertambah tidak sebanyak mana pun,” katanya.

Cheong berkata pada masa ini, pemaju dan penjual rumah nampaknya tidak mahu menurunkan harga mereka dan orang ramai perlu mengambil kesempatan terhadap pasaran sewaan rumah di mana harga sewa jatuh susulan bekalan rumah sewa berlebihan.

Tahun lalu, dilaporkan 18,908 daripada 81,894 unit hartanah perumahan dan komersial dilancarkan pada suku pertama 2016, belum dapat terjual. Nilai unit yang masih belum dijual itu ialah RM9.4 bilion.
FMT

No comments:

Post a Comment