9/1/17
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan kerajaan dan polis
supaya membayar RM357,500 sebagai pampasan kepada keluarga pemandu lori P
Chandran yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dan
Wangi, empat tahun lalu.
Hakim S Nantha Balan, dalam alasan bertulis setebal 86 halaman,
bersetuju dengan penemuan koroner Ahmad Bache bahawa kematian Chandran
boleh dielakkan sekiranya polis menjalankan kerja dan tanggungjawab
mereka.
Hakim memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertindak cuai dengan
tidak menghantar Chandran ke hospital dan mengabaikan tugas mereka dalam
menjaga lelaki itu.
"Pada pandangan saya, jika pihak polis dan anggota yang meronda serta
mereka yang memantau CCTV di IPD Dang Wangi menjalankan tugas mereka,
tentulah mereka akan mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan
si mati, terutama pada awal pagi 10 September 2012.
"Mereka sepatutnya campur tangan dan hantar si mati ke hospital
tetapi ternyata bahawa setiap mereka yang bertanggungjawab menjaga
tahanan mengikut Peraturan Lokap 1953, mengabaikan tanggungjawab dan
membasuh tangan mereka dalam perkara ini," katanya.
Chandran, yang ketika itu berusia 47 tahun meninggal dunia akibat
serangan jantung apabila pihak polis tidak memberi atau membenarkan
perubatan yang berkaitan dengan kesihatannya.
Adalah dilaporkan semasa penemuan inkues, polis hanya menyedari kematiannya di lokap selepas 12 jam kemudian.
Lelaki itu ditahan susulan laporan polis ke atasnya oleh seorang
wanita Indonesia yang mendakwa bayinya dilarikan tetapi kemudiannya
dikenalpasti ia telah diberikan sebagai anak angkat.
No comments:
Post a Comment